PENJAGA gawang skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengingatkan rakan sepasukan agar berwaspada dengan gerakan terancang Thailand pada aksi kedua Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 di Phnom Penh pada Sabtu.
Sikh Izhan berkata, penelitian telah dilakukan menerusi video analisis bagi mengkaji ketajaman barisan serangan Thailand yang mungkin boleh mengundang ancaman merbahaya kepada gawang negara menerusi set piece dalam perlawanan berlangsung di Stadium Prince.
"Kami juga perlu sedar dengan hantaran merbahaya dibuat pemain tengah pasukan Thailand dan lebih fokus kepada bahagian pertahanan.
"Malah selain muka baharu, ada dalam kalangan mereka bermain di pasukan senior and liga utama jadi mereka punya kematangan lebih baik tetapi kita juga ada kelebihan dibarisi pemain yang beraksi di Liga Super,” katanya kepada media Malaysia pada sesi latihan di Stadium EDC, di Phnom Penh pada Jumaat.
Selain berhati-hati dengan permukaan padang, penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC) juga berharap dapat menambah baik aspek komunikasi bersama benteng pertahanan agar insiden yang berlaku pada perlawanan pertama sewaktu membelasah Laos 5-1 tidak berulang lagi.
Selepas mendahului perlawanan hasil jaringan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, gawang negara bolos menerusi jaringan sendiri pemain sama ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang Phetdavanh Somsanid pada minit ke-21, untuk lawan menyamakan kedudukan sebelum Malaysia berjaya membawa pulang tiga mata penuh Rabu lepas.
Pemain B22 negara ketika sesi latihan menjelang perlawanan menentang Thailand pada petang ini. — Facebook/FAM
Dalam pada itu, penyerang, Muhammad Aliff Izwan Yuslan pula berkata, mereka sedang menumpukan usaha mempertajamkan teknik penyudah terutamanya menghasilkan jaringan menerusi set piece menentang naib juara edisi 2021.
Muhammad Aliff juga mengakui sedikit tertekan menjelang aksi berdepan juara 16 kali tersebut kerana apa jua keputusan dilakar anak buah E. Elavarasan esok bakal mencerminkan nasib pasukannya memandangkan mereka turut diundi bersama juara bertahan, Vietnam dalam Kumpulan B.
Bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun itu tetap berharap dapat membantu pasukan negara menamatkan kemarau ‘ibu segala pingat’ selama 12 tahun dalam penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA di Phnom Penh.
Malaysia dan Thailand yang baru bermain satu perlawanan, masing-masing meraih tiga mata di tempat kedua dan ketiga dalam saingan kumpulan, sementara Singapura dan Laos di kedudukan tercorot selepas gagal mengutip mata dalam dua perlawanan pertama.
Vietnam selaku juara bertahan pula menerajui saingan dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,