KEBELAKANGAN ini banyak khabar angin perpindahan pemain sedang berlegar di media sosial dan perkara itu sedikit sebanyak menggembirakan penyokong yang ingin melihat berlaku perubahan positif pada pasukan kesayangan mereka.
Antara yang ditunggu-tunggu pada jendela perpindahan kedua nanti ialah melihat pasukan kegemaran membawa masuk pemain berkualiti terutamanya di bahagian serangan.
Bukan hanya itu, sebahagian penyokong juga tidak sabar untuk melihat bekas pemain import yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) pada tahun-tahun sebelum ini dikatakan bakal kembali ke tanah air.
Walaupun ada yang menganggap mereka adalah import 'recycle' (kitar semula) namun jika kualiti pemain tersebut setaraf atau melebihi tonggak baharu, maka tidak hairanlah jika kedatangan mereka dialu-alukan.
Gustavo menyertai Al-Nasr SC pada 2023 selepas meninggalkan NSFC. — Instagram/Gustavo
Seperti bekas penyerang Negeri Sembilan FC (NSFC), Gustavo Almeida yang ditunggu-tunggu untuk kembali ke kancah bola sepak tempatan berikutan pernah memberikan aksi cemerlang pada saingan musim lalu bersama skuad Jang.
Musim lalu pemain berusia 26 tahun itu berjaya menghasilkan 11 gol dalam 13 perlawanan liga yang mana menyaksikan Negeri Sembilan menduduki tangga keempat dalam Liga Super.
Namun, jodohnya bersama pasukan di bawah kendalian K.Devan terlerai apabila pihak pengurusan memutusan untuk tidak ingin menggunakan khidmatnya pada musim ini.
Tangkap layar hantaran dari Gustavo di Insta Story.
Gustavo kini menyertai kelab Kuwait, Al-Nasr SC difahamkan akan kembali menggegarkan Liga M dan perkara itu pastinya menjadi berita baik kepada penyokong yang merindukan sentuhan tajamnya di hadapan gawang lawan.
Menerusi perkongsian di laman Insta Story miliknya, penyerang kelahiran Brazil itu juga sepertinya masih merindui untuk beraksi di Liga M apabila Gustavo memuat naik jaringan golnya ketika menyarung jersi skuad Jang.
Tidak cukup dengan itu, kapsyen perkataan ‘loading’ juga membuatkan ada penyokong yang berpendapat Gustavo seperti memberi petunjuk sedang menunggu tawaran dari sebuah kelab Liga Super.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa Sabah FC merupakan antara pasukan yang dikaitkan dengan Gustavo bagi membantu memperkukuh jentera serangan skuad The Rhinos menjelang aksi Piala AFC nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram