'Kami tidak akan berkompromi,' aksi semi final Pahang Rangers ‘panas’ luar dalam


  • Podium
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Pemain Pahang Rangers, Sufri Syamil (bawah) yang mengalami kesakitan selepas dikasari pemain lawan. — Facebook/Pahang Rangers FC

KELAB futsal tanah air yang cukup terkenal, Pahang Rangers terpaksa mengakui kekuatan pasukan Indonesia, Black Steel dalam aksi separuh akhir Kejohanan Kelab Futsal AFF 2023.

Perlawanan yang berlangsung pada Jumaat di Thailand itu menyaksikan pihak lawan menang dengan keputusan 7-0, sekali gus menyaksikan wakil negara pulang dengan tangan kosong.

Meskipun tewas dengan keputusan sebegitu, Pahang Rangers pastinya boleh berbangga memandangkan mereka sebelum ini tidak dipilih sebagai pasukan pilihan ke pentas separuh akhir.

Namun, apa yang sedikit mengecewakan dalam pertembungan adalah apabila terdapatnya beberapa kontroversi yang berlaku sepanjang perlawanan.

Terjahan keras yang dilakukan pemain Black Steel ke atas Sufri Syamil pada minit ke-11 mencetuskan kehangatan dalam gelanggang futsal.

Situasi semakin tegang memasuki separuh masa kedua permainan apabila berlaku sedikit pergelutan yang membabitkan Gonzalez sehingga memaksa pemain Pahang Rangers menenangkannya.

Isu tersebut tidak terhenti di situ apabila masalah berlanjutan meskipun wisel penamat sudah ditiupkan tatkala ruangan komen wakil negara diisi kata-kata yang tidak sepatutnya.

345294500_903024837433943_6786673220695965476_n

Komen individu yang seperti mahu melaga-lagakan kedua-dua pihak. Facebook

Antara yang sememangnya menarik perhatian kesemua pihak adalah komen daripada pengguna Facebook, Abdullah Sani yang sepertinya menggugat institusi diraja Pahang.

Perkara itu menyebabkan sedikit peperangan mulut di antara pengguna media sosial yang dikhuatiri mampu memberi kesan buruk terhadap keamanan kedua-dua negara.

Bagi menjawab akan hal itu, Setiausaha Agung Pahang Rangers, Mutiara Bahir mengeluarkan kenyataan yang mana mereka tidak akan sekali-kali berkompromi atas percubaan mana-mana pihak untuk mengeruhkan keadaan.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan bahasa kesat yang ditujukan terhadap pemain atau pasukan kami di atas mana-mana platform media sosial.

345167111_767656538369645_8225377250941303059_n

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak pengurusan Pahang Rangers. Facebook/Pahang Rangers FC

"Pasukan kami sepatutnya layak untuk menerima setinggi-tinggi penghormatan atas semangat juang serta sikap hormat-menghormati yang ditunjukkan kepada pihak lawan," tulis kenyataan itu.

Ketika ini, Pahang Rangers yang dikendalikan jurulatih kelahiran Sepanyol, Gerard Casas Ullastre berada di tangga teratas Kumpulan A Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2023 selepas lima perlawanan.

Selepas ini, mereka bakal bertemu kelab Vietnam, Thai Son Nam pada aksi penentuan tempat ketiga sementara Black Steel bakal bertemu wakil Thailand, Hongyen Thakam dengan kedua-dua perlawanan bakal berlangsung pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram