
SRI Pahang FC berada dalam prestasi yang cukup memuaskan selepas masih belum mengalami sebarang kekalahan dalam Liga Super selepas 10 perlawanan.
Meskipun tersingkir daripada saingan Piala FA dengan keputusan 0-4 di tangan Selangor FC, kedudukan mereka yang berada di tangga ketiga sememangnya cukup hebat.
Di samping hanya mengadakan sesi latihan dalam negara, perubahan ketua jurulatih juga dijangka akan memberi kesukaran buat pasukan selepas legenda kelab, Fandi Ahmad dilantik.
Tambahan pula, kehadiran pemain yang sedikit berusia juga pada awalnya sukar diterima peminat setia Tok Gajah apabila mereka mengharapkan nafas baharu buat kelab Pantai Timur itu.
Namun, memasuki pertengahan musim, pasukan tersebut terus memberi kejutan dengan enam kemenangan dicatatkan yang menjadikan kumpulan mata mereka sebanyak 22 mata.
Jika pencapaian itu dapat diteruskan, ia bakal menyaksikan Sri Pahang FC layak ke pentas Asia buat kali pertama sejak 2015.
Selain itu, kelab berkenaan difahamkan sedang dalam proses mendapatkan lesen AFC daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim akan datang.
Bagaimanapun, dengan masih terdapat penambahbaikan terhadap fasiliti perlu dilakukan Sri Pahang FC, adakah episod yang mana mereka menolak lesen ke pentas Asia pada 2019 bakal berulang?
Fadzli melakukan suntikan dana secara besar-besaran bagi menaik taraf stadium terbabit. — Facebook/Fadzli Mohamad Kamal
Dalam meningkatkan kualiti serta reputasi kelab berkenaan, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal memberikan satu berita baik mengenai masa depan kelab itu.
"Stadium Darul Makmur, Pahang kini sedang dalam proses penambahbaikan secara bersungguh-sungguh. Antara fasiliti yang baru dinaik taraf adalah trek & balapan serta tempat duduk di grandstand.
"Orang ramai berpeluang menggunakan trek & balapan yang menelan belanja RM4.6 juta ini bermula 16 Mei ini. Manakala 1,600 tempat duduk di grandstand yang menelan belanja lebih RM300,000 sememangnya sudah siap sedia untuk digunakan," katanya menerusi satu perkongsian di Facebook peribadinya.
Ketika ini, stadium yang boleh menempatkan 30,000 penonton dalam satu-satu masa itu dikatakan memerlukan pelbagai kerja-kerja menaik taraf, terutamanya dari segi tempat kerusi penonton.
Jadi, sekiranya penyuntikan dana itu dapat berlaku, ia sememangnya satu langkah yang boleh diberikan pujian melihat kepada usianya yang mencecah 50 tahun.
"Insya-ALLAH, selepas ini, banyak lagi pembaharuan yang akan dilakukan untuk menambahbaik fasiliti di Stadium Darul Makmur, Pahang.
"Petang tadi, saya peruntukkan masa meninjau kesiapsiagaan fasiliti terbaru di Stadium Darul Makmur ini," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram