Aidil Sharin akui terima tawaran, tapi bukan dari Terengganu


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Aidil berjaya menyelamatkan Persikabo daripada jatuh ke divisyen kedua bola sepak Indonesia. — Agensi

BEKAS ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak tidak menolak peluang untuk kembali mewarnai kancah Liga Malaysia.

Namun, masa depannya masih belum diputuskan lagi memandangkan dia sedang mempertimbangkan tawaran lanjutan kontrak bersama kelab Liga 1 Indonesia, Persikabo 1973.

"Saya perlu bersikap adil dengan Persikabo yang masih inginkan khidmat saya. Ini minggu terakhir saya perlu berikan jawapan dan saya perlu muktamadkan keputusan hala tuju yang terbaik buat diri sendiri dalam masa sehari dua ini.

"Sejujurnya ia satu pengalaman yang manis kerana peminat di sana sangat semangat kerana mereka sangat sayangkan kelab," katanya kepada Stadium Astro.

Tambah pengendali berusia 45 tahun itu, antara pengalaman terbaiknya bersama kelab berkenaan adalah ketika mana berlakunya kekecohan selepas pertembungan antara Persikabo dan Persib Bandung 15 April lalu.

"Dalam perlawanan terakhir, protes berlaku dan kejadian yang pernah meragut nyawa di stadium sebelum ini hampir berulang. Mujur ia dapat dikawal," katanya.

WhatsApp Image 2023-05-04 at 21.17.11

Aidil pernah mencatatkan kenangan manis ketika bersama KDA FC.

Sepanjang karier dalam Liga Malaysia, Aidil Sharin hanya berkelana di Alor Setar, Kedah di mana dia membimbing skuad Hijau Kuning muncul naib juara Liga Super untuk dua musim berturut-turut.

Kejayaan paling tidak dilupakan ialah ketika menjulang Piala FA pada 2019, iaitu musim pertamanya di samping hampir mencatat kejuaraan berganda tapi terpaksa akur selaku finalis Piala Malaysia.

"Tiada sebarang wakil Terengganu yang menghubungi saya tapi ejen memaklumkan bahawa mereka ada menyatakan minat. Saya ada tawaran konkrit daripada sebuah lagi kelab Pantai Timur yang meminta saya mengambil alih pasukan.

"Memang benar ada urusan yang belum selesai dalam Liga-M. Saya pernah mengharungi tiga musim yang baik di Malaysia, biar rekod yang membuktikannya," katanya.

Jelas Aidil, beberapa punca menyebabkannya berasa dekat dengan Liga Malaysia, termasuk geografinya yang berhampiran dengan tanah kelahirannya, Singapura.

"Saya masih merindui dengan suasana Malaysia atas faktor berdekatan dengan Singapura, masyarakat dan peminatnya. Malah, hubungan sesama jurulatih juga rapat," katanya lagi. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram