'Assist' jaringan Ikhwan Yazek dikagumi bintang Manchester City, terpilih antara aksi terbaik liga


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

De Bruyne ketika ini merekodkan 16 bantuan jaringan selepas 29 perlawanan EPL. — Agensi

BINTANG Manchester City, Kevin De Bruyne kagum dengan bantuan jaringan pemain Kelantan FC, Ikhwan Yazek ketika membantu pasukan mengikat KL City 2-2 dalam aksi Liga Super,17 Mac lalu.

Pemain tengah sensasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Kevin De Bruyne merupakan antara pemain cemerlang yang melakukan bantuan jaringan dalam saingan terbesar England itu.

De Bruyne ketika ini merekodkan 16 bantuan jaringan selepas 29 perlawanan, serta meledak tujuh gol buat Man City yang ketika ini mendahului Liga Perdana Inggeris dengan 79 mata selepas 33 perlawanan.

Dalam satu temu bual bersama media tempatan, Stadium Astro, De Bruyne tampil memberikan pandangan mengenai bantuan jaringan terbaik saingan Liga Super.

ikhwan

Ikhwan merupakan pemain sayap yang sering menjadi kesebelasan utama Kelantan musim ini. — Facebook/TRW

Menerusi video tersebut, De Bruyne yang juga merupakan ketua pasukan skuad The Citizens disajikan dengan beberapa bantuan jaringan terbaik Liga Super sepanjang musim 2023.

De Bruyne akhirnya memilih bantuan jaringan bintang muda Kelantan, Ikhwan yang melakukan hantaran jauh mencari Fazrul Amir untuk mengikat kedudukan 2-2 berdepan KL City sebagai antara yang terbaik.

Hantaran bantuan yang dilakukan Ikhwan juga merupakan sumbangan terakhirnya buat pasukan Kelantan sebelum mengalami kecederaan ketika minit ke-74 perlawanan sehingga menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu terpaksa dibawa keluar padang menggunakan pengusung.

Ikhwan disahkan mengalami kecederaan lutut di bahagian meniscus dan berkemungkinan terpaksa melupakan baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram