Kesilapan indvidu punca Malayan Tigress bolos 3 jaringan di tangan Vietnam


  • Podium
  • Rabu, 03 Mei 2023

Malaysia akan berdepan Filipina pada perlawanan kedua Kumpulan A pada Sabtu ini. — Facebook/FAM

SKUAD bola sepak wanita kebangsaan memulakan kempen Sukan SEA 2023 dengan langkah kiri selepas tumpas 0-3 kepada juara bertahan, Vietnam, pada aksi Kumpulan A di Stadium Army, di Phnom Penh, Kemboja pada Rabu.

Vietnam hanya memerlukan tiga minit untuk berada di depan menerusi jaringan penyerang Pham Hai Yen dan terus ketinggalan selepas tonggak tengah lawan, Nguyen Thi Bich Thuy menolak masuk jaringan kedua pasukannya pada minit ke-23.

Pasukan kendalian Mai Duc Chung itu terus menceriakan sebilangan kecil penyokong Vietnam yang hadir di venue perlawanan apabila ketua pasukan mereka, Huynh Nhu, meledak gol ketiga pada minit ke-33 dan kedudukan tersebut kekal menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, pasukan negara bimbingan jurulatih dari Jordan, Soleen Al-Zoubi, wajar diberi pujian dengan menyerap tekanan demi tekanan dilancarkan pemain Vietnam ke kubu skuad kebangsaan sehingga berjaya mengelak mereka daripada dibolosi lagi.

soleen

Soleen ketika bersama anak-anak buah dalam bilik persalinan. — Facebook/FAM

Peluang terbaik Malaysia untuk sekurang-kurangnya menjaringkan gol sagu hati pula hadir pada minit ke-68 namun sepakan kaki kiri oleh Henrietta Justine tersasar di sebelah kiri gawang Vietnam.

Meskipun tewas pada perlawanan pertama, Soleen tetap berbangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh para pemain terutama muka baharu dalam skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Soleen mengakui beliau memang menjangkakan pasukannya kurang melepaskan gol menentang pasukan Vietnam yang akan membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia Wanita FIFA di Australia dan New Zealand Julai ini.

"Kami berharap untuk melepaskan lebih sedikit gol tapi malangnya kesilapan individu terbukti merugikan kami. Saya harap dapat meningkatkan kemahiran individu pemain menjelang aksi seterusnya,” katanya pada sidang media pascaperlawanan.

Malaysia akan berdepan Filipina pada perlawanan kedua Kumpulan A, Sabtu ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram