SKUAD bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara melepasi ujian pertama di Kemboja dengan mengetepikan Laos 5-1 dalam Sukan SEA Ke-32, pada Rabu.
Di sebalik kejayaan membenam seteru serantau itu, skuad kendalian E Elavarasan terpaksa meniti permainan berliku.
Ini berikutan jaringan sendiri Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-21 yang secara tidak langsung memadam gol awalnya pada minit ke-4.
Selain persembahan Ubaidullah, prestasi tiga pemain yang pernah beraksi bersama pasukan senior iaitu Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad dan Haqimi Azim juga dikatakan tidak mencapai standard memuaskan.
Bagi Mukhairi, dia seakan-akan sedar persembahan ketika perlawanan menentang Laos bukanlah aksi terbaik yang diharap daripada diri sendiri.
Ia selepas pemain berusia 21 tahun itu membuat permohonan maaf kepada ejen Estrada Sports Agency, Joe Berbatov kerana tidak dapat menghadiahkan gol kemenangan.
Menerusi satu posting di Instagram, Mukhairi membuat ucapan hari lahir kepada Joe dengan memuat naik gambar mereka berdua.
"Happy birthday boss @joe_berbatov. Sorry tak dapat bagi hadiah malam ini," tulisnya.
Sementara itu, Joe yang memuat naik semula hantaran berkenaan tetap berterima kasih kepada Mukhairi dan rakan-rakannya sepasukannya di Harimau Muda kerana menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia.
"It's okey boss. Terima kasih..tiga point tu pun kira hadiah dah tu saya kongsi dengan fans Harimau Malaya," tulisnya.
Meskipun belum dapat mencetak nama sebagai penjaring, arkitek tengah Selangor FC itu diyakini dapat menghadiah sesuatu kepada negara dalam kempen Sukan SEA Kemboja.
Bersama skuad Gergasi Merah, dia sudah menjaringkan dua gol ketika aksi Piala FA menentang Sri Pahang FC pada 15 April lalu.
Untuk saingan Liga Super pula, Mukhairi mencatat dua bantuan gol menerusi sembilan penampilan daripada keseluruhan 11 perlawanan yang ditempuh Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram