Sukan SEA Kemboja: Pengalaman Liga Super pacu Harimau Muda harungi kumpulan maut


  • Podium
  • Rabu, 03 Mei 2023

Barisan pemain-pemain Harimau Muda yang akan menggalas cabaran skuad negara dalam Sukan SEA Kemboja. — Facebook/FAM

KETUA jurulatih skuad Bawah-22 (B-22) kebangsaan, E. Elavarasan, menyifatkan peluang masih terbuka buat pasukan negara untuk menjelmakan saingan walau berada dalam kumpulan maut bertemu juara bertahan, Vietnam, Thailand, Singapura dan Laos.

Elavarasan juga berkongsi selain kapten pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi selain dua lagi tonggak, Azam Azmi Murad dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman turut diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua dan tonggak utama pasukan, lapor Stadium Astro.

"Dalam tempoh tiga hari sebaik melaporkan diri, pemain sudah dapat membiasakan diri dengan cuaca panas.

"Semangat berpasukan juga bagus dan ramai pemain yang ada pengalaman dalam Liga Super. Ini akan memberi satu semangat kelainan dalam pasukan.

"Walaupun perlawanan pertama sentiasa menjadi sukar tapi kami mahukan kemenangan, " katanya menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan B dengan Laos di Stadium Prince, Kemboja pada Rabu.

Sementara itu, penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan yang turut tersenarai dalam 20 barisan terbaik untuk membawa cabaran kali ini berharap kemunculan sulungnya dalam temasya rantau in itu mampu beri magis, sekali gus membantu pasukan mencipta kemenangan di Kemboja.

Namun, dia perlu memikat hati Elavarasan terlebih dahulu selain bersaing hebat dengan tonggak muda Kuala Lumpur City, Azim Al Amin Kamaruddin, dalam misi diturunkan sebagai benteng akhir kebangsaan kelak.

"Alhamdulillah diberi peluang dan ini kali pertama saya tersenarai dalam Sukan SEA.

"Saya harap perlawanan yang ditempuhi ini akan menjadi langkah kanan buat kami dalam Piala Asia dan Piala AFF kelak.

"Saya akan bersaing dalam keadaan yang sangat baik dan kami dapat saling membantu," katanya pula. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram