Sikh Izhan, Azam Azmi antara 4 pemain Liga Super tonggak Harimau Muda di Sukan SEA Kemboja


  • Podium
  • Selasa, 02 Mei 2023

Skuad Harimau Muda bersiap untuk berlepas ke Kemboja pada Selasa bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja 2023. — Bernama

KEHADIRAN empat pemain Liga Super dalam senarai utama skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara memberi keyakinan kepada ketua jurulatih E. Elavarasan untuk pasukan beraksi cemerlang pada Sukan SEA 2023, di Phnom Penh, Kemboja.

Elavarasan juga yakin meskipun diundi dalam kumpulan ‘maut’ bersama juara bertahan, Vietnam dan naib juara edisi lepas, Thailand, peluang skuad negara memiliki ‘ibu segala emas’ pada temasya dwitahunan itu tetap terbuka memandangkan semua pasukan menampilkan pemain daripada umur sama.

"Saya rasa kumpulan kali ini walaupun bersama team bekas juara, saya rasa peluang untuk menang tetap terbuka sebab kali ini pertandingan (melibatkan pemain) sama umur. Saya rasa dalam pasukan yang penting adalah pemain.

"Dilihat daripada tiga hari latihan, saya rasa dari segi pasukan sudah bagus dan mereka ada pengalaman dalam Liga Super, jadi ia akan memberi semangat yang lain,” katanya.

SEPANG, 2 Mei -- Pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara E. Elavarasan mengulas mengenai persiapan pasukan sebelum berlepas ke Kemboja bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Elavarasan yakin pasukan mampu beraksi cemerlang pada Sukan SEA 2023. — Bernama

Elavarasan berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Kemboja bersama skuad Harimau Muda dan Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali.

Menurutnya, empat pemain Liga Super yang bakal menjadi tonggak utama skuad Harimau Muda adalah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan FC), Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC) dan Muhammad Azam Azmi Murad (Terengganu FC).

Katanya, skuad Harimau Muda perlu menanam misi ‘wajib menang’ apabila bertandang ke Stadium Prince, Phnom Penh pada perlawanan pertama menentang Laos bagi saingan Kumpulan B, pada Rabu untuk mengutip tiga mata pertama.

Sementara itu, penjaga gol skuad B-22 negara, Sikh Izhan berkata, persefahaman yang kukuh bakal memberi kelebihan kepada pasukan untuk menumpaskan Laos.

SEPANG, 2 Mei -- Penjaga gol skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman ditemubual pemberita sebelum berlepas ke Kemboja bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sikh Izhan berkata, persefahaman yang kukuh bakal memberi kelebihan kepada pasukan untuk menumpaskan Laos. — Bernama

"Saya rasa dalam pasukan, kami mempunyai ikatan dan semangat yang kuat sangat memahami 100 peratus, saya rasa untuk menentang Thailand dan Vietnam juga kami sudah bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nasir optimis kesemua atlet negara bersedia sepenuhnya untuk memenuhi sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa di Kemboja.

Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa atlet dan pegawai yang tiba di Kemboja menghadapi masalah kekurangan tempat penginapan, namun jawatankuasa CDM membuat tempahan hotel di kawasan berdekatan.

"Kita sudah bangkitkan isu ini dalam mesyuarat SEA CDM semalam (Isnin) dan hari ini (Selasa), kami akan dapatkan penyelesaian secepat mungkin,” katanya.

SEPANG, 2 Mei -- Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali ditemubual pemberita mengenai persiapan kontinjen negara sebelum berlepas ke Kemboja bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohd Nasir optimis atlet negara bersedia sepenuhnya untuk memenuhi sasaran negara. — Bernama

Skuad Harimau Muda akan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos B-22 (Rabu), diikuti dengan perlawanan menentang Thailand B-22 (6 Mei), Vietnam B-22 (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 (11 Mei).

Jika pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei, sebelum aksi final atau penentuan tempat ketiga dan keempat pada 16 Mei.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas pada edisi 2011 di Jakarta, apabila menundukkan pasukan tuan rumah, namun gagal mengulangi pencapaian sama pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas tewas kepada Thailand di final. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram