Persiapan ke Piala Asia semakin rancak, KPG pilih lawat West Ham, Brighton


  • Podium
  • Selasa, 02 Mei 2023

Pan-gon (kiri) sempat bertemu David Moyes yang cukup terkenal di peringkat global. — Facebook/FAM

KEHADIRAN ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai pengendali Harimau Malaya sememangnya memberi perubahan buat masa depan pasukan negara.

Selain membantu sekuad kebangsaan layak ke Piala Asia buat pertama kali sejak 2007, sentuhannya juga mendatangkan impak cukup besar ketika kempen Piala AFF yang lalu.

Malah, prestasi konsisten sepanjang aksi persahabatan juga banyak membantu Harimau Malaya untuk mendaki ranking FIFA apabila mereka berada di kedudukan ke-138 ketika ini.

Jadi, dengan Pan-gon sepertinya terus dahaga untuk mencipta momen manis bagi membawa skuad negara ke tahap lebih tinggi sepanjang berada di bawah kendaliannya.

Baru-baru ini, pihak kejurulatihan pasukan kebangsaan mengambil kesempatan mengadakan lawatan untuk melawat kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Menurut perkongsian daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kunjungan berkenaan membolehkan Pan-gon serta staf-staf Harimau Malaya menyaksikan sendiri fasiliti pasukan berkenaan.

344448015_780131240495987_7016285211487571380_n

Staf kejurulatihan Harimau Malaya menyaksikan sesi latihan West Ham United. Facebook/FAM

Ia sepertinya satu suntikan semangat buat penyokong bola sepak tanah air memandangkan Barcelona memiliki sejarah yang cukup mendalam dengan kejayaan demi kejayaan diraih mereka.

Usaha Pan-gon sepertinya tidak berakhir di situ apabila mereka sekali lagi melawat beberapa pasukan yang sememangnya terkenal di peringkat global.

Dalam satu perkongsian pada Selasa, pengendali berusia 54 tahun berkenaan serta pembantunya, Pau Marti Vicente dan sebilangan individu lagi berpeluang melawat dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

West Ham United dan Brighton & Hove Albion sememangnya cukup ternama meskipun mereka tidak memiliki sejarah sebagai sebuah pasukan yang amat megah.

Namun, memandangkan kedua-dua kelab itu mempunyai pusat latihan serta kebolehan untuk menyuburkan bakat-bakat dari serata dunia, tidak hairanlah apabila FAM memilih untuk melawat mereka.

344385253_780430643651261_7000159509499975525_n

Pan-gon bersama penyerang Wolves, Hwang Hee-chan. Facebook/FAM

"Di sepanjang tempoh seminggu di London, barisan staf kejurulatihan Harimau Malaya itu berpeluang untuk menyaksikan sesi latihan pasukan West Ham United serta bertemu beberapa staf kejurulatihan kelab termasuk David Moyes.

"Selain itu, mereka turut ke Brighton & Hove Albion bertemu bersama beberapa staf teknikal dan kejurulatihan kelab berkenaan," tulis FAM di Facebook rasmi mereka.

Tambahan pula, Pan-gon turut berpeluang bertemu dengan penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan yang juga merupakan warganegara Korea Selatan.

Sepanjang berada di London itu, Pan-gon dan staf kejurulatihannya juga berkesempatan menyaksikan dua perlawanan EPL antara West Ham dan Liverpool serta Brighton & Hove Albion dengan Wolverhampton Wanderers. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram