SKUAD Kelantan FC yang terpalit kontroversi kejurulatihan baru-baru ini, bakal menerima suntikan tidak lama dengan kehadiran pemain daripada kelab Johor Darul Takzim (JDT).
Ini selepas pemiliknya, Norizam Tukiman memberi bayangan kemungkinan ada dua pemain baharu bakal ditandatangani The Red Warriors (TRW).
Norizam yang juga dikenali sebagai Zamsaham sebelum itu membuat satu posting di Facebook memaklumkan dia mendapat hadiah dua ekor kuda daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sempena hari jadinya.
Ramai beranggapan kuda yang dimaksudkan oleh Norizam ialah pemain pinjaman daripada JDT ke Kelantan yang ketika ini sedang bergelut tatkala pasukan itu berdepan masalah prestasi dalam saingan Liga Super.
Ramadhan (kanan) dan Sumareh antara dua pemain JDT yang dikaitkan ke Kelantan FC secara pinjaman. — Facebook/ Johor Southern Tigers
Justeru, beberapa nama pemain Harimau Selatan meniti di bibir penyokong Kelantan FC antaranya pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh serta penyerang muda, Ramadhan Saifullah.
Legenda JDT, Safiq Rahim juga dikaitkan dengan pasukan Pantai Timur itu walaupun dilabel sebagai kuda tua kerana kurang mendapat minit bersama kelab.
Di sebalik khabar angin yang bertebaran di media sosial itu, bekas pemain JDT, Amri Yahyah juga ada cerita mengenai 'kuda'.
Veteran Sabah FC itu berkongsikan foto sebalang biskut raya yang hampir separuh dihabiskan di Instagram Story pada Selasa.
Perkongsian itu diiringi alunan muzik DJ Bianca - Kuda Yang Mana, yang sebenarnya adalah sebahagian daripada lirik lagu Pantun Janda, yang kini trending di TikTok.
Perkongsian Amri di Instagram Story. — Instagram @ratu_amri
Amri turut menyertakan kapsyen ringkas di foto tersebut yang berbunyi, "Lagu ini boleh bawa gaduh."
Perkongsian bekas pemain kebangsaan itu cukup menghiburkan ketika suhu bola sepak tempatan panas dengan pelbagai isu termasuk yang berlaku di Kelantan FC.
Skuad The Rhinos akan melayani kunjungan TRW dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada Rabu.
Mungkin dalam aksi itu, penyokong dapat melihat kehebatan Amri meskipun dia juga berstatus 'kuda tua' kerana sudah mencecah usia 42 tahun.
Begitupun, Amri yang juga terkenal dengan panggilan Wak Am bukan kuda tua sembarangan kerana berjaya meledak lima gol menerusi 18 penampilan musim lalu.
Sabah FC kini berada di kedudukan kelima dengan 14 mata manakala Kelantan FC pula di kedudukan ke-13 dengan hanya empat mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram