KEADAAN bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali yang diserang penyakit barah paru-paru menerima perhatian ramai pihak, terutamanya peminat bola sepak tanah air.
Laporan media sebelum ini menyatakan anak jati Ampang, Selangor itu berada di tahap 3A yang sedikit berbahaya memandangkan ia berada di organ penting.
Bagaimanapun, Khalid mengambil sikap positif dengan terus percaya bahawa penyakitnya itu masih mampu diubati.
Ketika ini, bekas pemain pertahanan Selangor FA itu memilih untuk mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
Setakat ini, Khalid difahamkan sudah melalui satu kitaran kemoterapi selepas barah tersebut dikesan pada awal Ramadan lalu.
Ia pastinya satu pengalaman yang sukar memandangkan usianya sudah mencecah 66 tahun di samping penampilan fizikalnya yang semakin merosot.
Namun, menerusi satu perkongsian baru-baru ini, dia mengakui proses kemoterapi itu memberi kesan sampingan kepada kesihatan serta tubuh badannya.
Khalid Ali terpaksa menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan di hospital.
"Ada batuk sekarang ni, keadaan badan yang tidak menentu, siang panas dan malam sejuk... Badan juga tak berapa selesa dengan makan pun tak sebarangan.
"Tapi, dari segi berat badan, memang turun dengan drastik, dah turun sebanyak 15 kilogram dan saiz pinggang saya pun sudah menurun dari 38 kepada 36 hari ini," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, pihak perubatan masih tidak boleh mengenal pasti tahap keberkesanan proses penyembuhan yang dilakukan dan mereka perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga kitaran keenam.
Selain namanya terus mekar dalam kalangan penyokong Selangor FA, sumbangan Khalid bersama skuad kebangsaan juga tidak boleh dipandang ringan.
Ia termasuk membantu pasukan negara layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia dengan dia beraksi cukup cemerlang di posisi tengah.
Mengulas lanjut, Khalid juga berkata, bekas rakan sepasukan serta sahabat tidak putus-putus mengunjung serta memberikan kata-kata semangat.
"Sampai ke hari ini orang terus kunjungi saya. Saya pun baru pulang dari hospital, ambil darah untuk kitaran kemoterapi kedua.
"Jadi, saya rasa sedikit lemah dan mungkin selepas Zuhur saya OK sedikit. Proses tu berjalan lancar dan doktor pun nasihat saya supaya jangan terlalu aktif kerana tidak tahu penerimaan badan terhadap rawatan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram