LEGENDA bola sepak negara, Khalid Ali yang berdepan ujian tidak terduga apabila disahkan menghidap kanser paru-paru, tetap bersyukur masih diberi kekuatan untuk menjalani ibadah puasa.
Malah, bekas pemain tengah skuad kebangsaan era 80-an itu juga bersemangat untuk bangun bersahur seperti biasa dengan mengetepikan penyakit yang dialami.
"Alhamdulillah dapat berpuasa, hanya tiga hari tinggal kerana melakukan pemeriksaan seperti endoscopy dan imbasan CT (computerized tomography).
"Saya juga bangun sahur makan kurma, minum susu dan makan ubat,” kata kepada Bernama.
Khalid berkata, dia perlu berjumpa doktor pada 10 April ini untuk mengetahui keputusan mengenai tahap kanser yang dihidapi.
Bekas pemain berusia 65 tahun itu memberitahu, perjumpaan dengan doktor pada tarikh berkenaan bagi mendapatkan keputusan akhir mengenai tahap kanser dihadapinya sebelum memulakan proses rawatan.
"Ramai juga bagi idea dan nasihat untuk cuba dapatkan rawatan tradisional dan sebagainya tetapi saya rasa biar tunggu keputusan doktor dahulu, selepas itu baru kita tahu arah (ikhtiar) mana kita nak pergi,” katanya.
Khalid merupakan pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan. — Facebook/ FAM
Menceritakan detik sebelum disahkan menghidap barah paru-paru, Khalid berkata, tahap oksigen dalam badan pernah menurun kepada 40 peratus walaupun dengan sekadar berdiri dan berjalan selama tiga hingga empat jam.
Dia memberitahu, berat badannya juga turun mendadak sebanyak 17 kilogram (kg) dalam tempoh satu setengah bulan susulan hilang selera makan.
"Saya nampak kuat tetapi saya perlukan juga doa daripada semua, kawan-kawan dan peminat, mana tahu doa seorang daripadanya dapat menyembuhkan," ujarnya.
Bekas pemain Selangor dan Kuala Lumpur itu turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang membantu menguruskan dan menampung rawatannya.
Khalid yang juga pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan merupakan antara watak penting kejayaan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram