
JIKA hendak dibandingkan dengan musim lalu, Kelantan FC sedang berdepan satu tempoh yang amat sukar selepas rentetan kekalahan dalam saingan Liga Super.
Empat mata yang dikumpul daripada sembilan perlawanan meletakkan mereka di kedudukan kedua tercorot di samping muncul sebagai pasukan dengan rekod pertahanan terburuk.
Kualiti pemain import dikatakan menjadi punca di sebalik prestasi buruk itu meskipun pihak pengurusan sudah melakukan pelaburan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan yang lalu.
Hal itu menyebabkan sebahagian besar penyokong mengharapkan agar kelab Pantai Timur itu bertindak membawa semula beberapa pemain luar yang berbakti dengan Kelantan FC musim lepas.
Antara nama yang disebut-sebut pengikut setia The Red Warriors (TRW) ialah penyerang kelahiran Haiti, Kervens Belfort selepas pernah berkhidmat selama semusim.
Fizikal Belfort sememangnya satu kelebihan buat skuad TRW musim lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC
Dia yang pada awalnya dikhabarkan akan terus setia dengan pasukan itu secara tiba-tiba mengumumkan dirinya tidak lagi berkhidmat dengan mereka pada Januari 2023.
Isu tersebut turut diperjelaskan pemilik kelab, Norizam Tukiman yang mengatakan Belfort masih dilanda isu kecederaan dan perlu diberikan masa terlebih dahulu.
Namun, dengan Kelantan FC bertindak mengisi kesemua sembilan kuota import mereka, pemain berusia 30 tahun itu terpaksa disisihkan bagi mengelak masalah pendaftaran.
Walaupun tidak lagi terikat, penyerang berkenaan dilihat masih cuba untuk mencuri hati penyokong TRW apabila kerap melakukan latihan bersendirian sambil mengenakan jersi Kelantan FC.
Ia sedikit sebanyak menyebabkan ramai pihak terus mengikuti perkembangan Belfort, termasuk Norizam yang pernah menulis komen di ruangan Facebook pemain itu.
Bagaimanapun, penyokong seolah-olah terkejut dengan satu hantaran pemain bertubuh sasa itu yang berkongsi satu kisah sedih mengenai nasibnya di perantauan.
Sedikit perkongsian daripada Belfort mengenai nasibnya di perantauan. — Facebook/Belfort kervens fils-fan page.
"Cuti sudah hampir tiba, kesemua pemain sudahpun pulang ke kampung halaman masing-masing. Saya tidak boleh pulang ke negara saya, sudah hampir setahun saya di luar negara.
"Ia adalah kali pertama saya terpaksa menghadapi perkara sebegini, saya di sini, tetapi saya seakan-akan tidak lagi hidup. Sudah hampir setahun saya tidak dapat lihat ibu, keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Meskipun tidak berkongsi sebab di sebalik catatan itu, konflik dalaman negara kepulauan Carribean tersebut dikatakan sebagai punca dia tidak dibenarkan pulang.
Selain berhadapan isu bekalan makanan, pertembungan antara kumpulan gangster di Haiti turut memburukkan lagi keadaan dengan laporan sebelum ini menyebut ratusan penduduk maut sejak pergaduhan itu.
Ketika ini, Belfort difahamkan berada di Malaysia dengan beberapa keping foto dikongsi menunjukkan pemain itu kerap melakukan latihan di kawasan pantai yang tidak dapat dipastikan lokasinya.
Di samping pernah beraksi di Liga Malaysia, Belfort juga pernah berkelana ke beberapa negara Eropah, termasuk Perancis dan Switzerland untuk mengembangkan lagi kariernya.
Rekodnya bersama pasukan kebangsaan juga tidaklah terlalu mengecewakan apabila dia sudah menjaringkan 14 gol dalam 40 penampilan, termasuk empat daripadanya ketika kempen kelayakan Piala Dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram