Zii Jia berlatih dengan kem Hong Kong sebelum ke Dubai


  • Podium
  • Ahad, 23 Apr 2023

Zii Jia (tiga dari kiri) akan berdepan Angus dalam Kejohanan BAC di Dubai.

JAGUH perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mengakui bahawa dia lebih mengenali lawannya dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas berlatih dengan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long beberapa hari lalu sebelum berlepas ke Dubai untuk mempertahankan kejuaraannya.

Zii Jia sebelum ini berada di Hong Kong untuk berlatih bersama atlet berkenaan yang bakal dihadapinya dalam pusingan pembukaan pertandingan yang akan berlangsung dari 25 hingga 30 April depan.

“Meluangkan masa dan berlatih dengan baik di Hong Kong. Ayuh ke seterusnya, Dubai,” tulis kapsyen daripada akaun media sosial Team LZJ.

Pemain kebangsaan itu bakal berdepan ujian berat apabila menentang bintang Hong Kong itu yang menewaskannya dalam Masters Indonesia pada Januari lalu dan sudah pun merangkul kejuaraan dan naib juara tahun ini.

Zii Jia berada di Hong Kong untuk berlatih dengan seluruh pasukan perseorangan lelaki Hong Kong termasuk Lee Cheuk Yiu yang akan menguji seorang lagi jaguh kebangsaan yang meningkat naik, Ng Tze Yong, dalam pusingan pertama.

Zii Jia kelihatan berlatih dalam momentum terbaik di Hong Kong ketika dia menyiarkan rakaman rejamannya menuju garisan tepi.

Latihan itu dikendalikan oleh jurulatih kelahiran Malaysia, Wong Tat Meng yang kini bertindak sebagai ketua jurulatih Hong Kong. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram