Cedera ketika sesi latihan, Malaysia mungkin kehilangan khidmat Justin di Sukan SEA Kemboja


  • Podium
  • Selasa, 11 Apr 2023

Justin mengalami kecederaan achilles tendon ketika sesi latihan pada Isnin. — Facebook/BAM

KEM badminton negara menerima tamparan hebat susulan kecederaan terbaharu melanda pemain perseorangan lelaki meningkat naik Justin Hoh menjelang temasya Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja bulan depan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melalui hantaran di akaun Twitter pada Selasa, telah mengesahkan pemain berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan achilles tendon ketika sesi latihan pada Isnin.

"Pemeriksaan perubatan yang dijalankan ke atas pemain berusia 19 tahun itu mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan 'achilles tendon' kiri. Justin akan menjalani pembedahan esok. Semoga cepat sembuh," menurut BAM.

Bulan lepas, BAM telah mengumumkan Justin bersama dua lagi pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao dan Ong Ken Yen bakal membawa cabaran negara ke temasya dwitahunan itu.

Bagi perseorangan wanita pula, tiga pemain disenaraikan ialah Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching manakala pasangan beregu pula dibarisi gandingan Goh Boon Sze-Rayner Beh (beregu lelaki) dan Cheng Su Hui-Cheng Su Yin (beregu wanita).

Sukan SEA dijadual pada 5 hingga 17 Mei. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Justin Hoh, BAM, Sukan SEA, Phnom Penh, Kemboja