BAM cadang Lee Chong Wei jadi pengurus program 'Road to Gold' Sukan Olimpik 2024


  • Podium
  • Rabu, 12 Apr 2023

Datuk Lee Chong Wei bakal dilantik menjadi pengurus pasukan untuk program RTG.

DATUK Lee Chong Wei antara individu yang dicadangkan menjadi pengurus pasukan untuk program latihan badminton berprestasi tinggi Road to Gold (RTG) sebagai persiapan Sukan Olimpik Paris 2024.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan meletakkan nama bekas pemain nombor satu dunia dan pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu kepada jawatankuasa RTG.

"Chong Wei adalah legenda dan merupakan antara pemain terhebat di dunia.

“Oleh itu, beliau adalah calon terbaik untuk tugas penting ini.

"Chong Wei antara calon ideal. Dia mempunyai banyak pengetahuan, mempunyai pengalaman sejak zaman dia bermain, mengetahui keperluan pemain zaman moden, dan dihormati semua pemain," kata presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria pada Rabu (12 April).

Chong Wei gembira dengan prospek membimbing pencabar pingat emas negara dan berikrar untuk membantu atlet itu dalam usaha memburu kejayaan tahun depan.

“Walaupun saya sudah menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa RTG, pelantikan sebagai pengurus pasukan akan bermakna dengan peningkatan tumpuan terhadap badminton dan peranan hands-on yang lebih dekat dari segi membantu pemain dalam persiapan mereka.

“Ini adalah tanggungjawab yang besar, tetapi saya bersedia untuk memikulnya dan memainkan peranan untuk membantu Malaysia.

“Memenangi pingat emas Olimpik pertama sudah menjadi agenda negara, dan ia menjadi harapan setiap rakyat Malaysia.

"Sudah tentu, saya menyedari kesukaran tanggungjawab ini, tetapi saya teruja kerana telah dipilih," kata Chong Wei, yang juga ahli Panel Penasihat Teknikal ABM. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram