KERJAYA bola sepak pemain veteran, Mutsuhiko Nomura menjangkau 18 Piala Dunia atau lebih tepat selama 70 tahun.
Kini bekas pemain pasukan Jepun yang berusia 83 tahun itu ialah ahli divisyen liga 'Soccer For Life (SFL)', iaitu liga baharu untuk divisyen pemain 80 tahun ke atas.
Liga SFL yang berpangkalan di Tokyo, Jepun itu bakal memulakan perlawanan pertamanya bulan ini.
Pemain itu dan rakan sepasukannya di skuad Red Star adalah antara golongan warga emas yang aktif mengamalkan gaya hidup secara sihat di Jepun dengan membabitkan diri dalam bola sepak.
Pemain dari pasukan Red Star, White Bear dan Blue Hawaii ketika acara pembukaan Liga SFL di Tokyo. — Agensi
"Ketika saya masih kecil, lelaki berusia 50-an dan 60-an dianggap datuk," kata Nomura selepas perlawanan latihan pramusim pada Februari.
Selain Nomura, seorang lagi pemain, Shingo Shiozawa, 93, mencuri tumpuan sebagai pemain tertua dalam liga tersebut.
"Jika saya tidak bermain bola sepak, mungkin saya sudah mati sekarang," kata bekas pereka kereta lumba itu yang bermain di posisi penjaga gol bagi pasukan White Bear.
Dia menghargai sukan itu kerana memberi motivasi buatnya untuk berhenti merokok dan membantu mempercepatkan pemulihan selepas rawatan stenosis tulang belakang.
Di atas padang, kelincahan sama tidak dipamerkan pemain-pemain liga SFL yang berumur purata lingkungan 83 tahun.
Mereka dilihat senang mengalami sakit belakang, sakit lutut dan kesukaran bernafas dalam perlawanan pertama pada Rabu lepas.
Nomura (dua dari depan) dan Shiozawa (kanan) mewakili pasukan masing-masing pada perlawanan pertama Liga SFL di Tokyo. — Agensi
Pergerakan atas padang juga agak perlahan kerana tendangan bola lemah selain ada pemain yang terjatuh ketika bertembung sesama sendiri.
Pelbagai gelagat boleh ditonton antaranya pemain berusia 89 tahun yang baru masuk padang meminta untuk dikeluarkan selepas hanya baru 10 minit perlawanan.
Bagi isteri Nomura, walaupun berdekad-dekad melihat suaminya bermain bola sepak, dia bimbang dengan tahap tekanan darah tinggi pasangannya itu.
Wanita tersebut, Junko akan merekodkan bacaan tekanan darah tinggi Nomura setiap hari dalam buku nota, bersama dengan aktiviti dan makanannya.
Nomura cuba melepasi penjaga gol Blue Hawaii. — Agensi
"Dia suka makan daging, jadi saya cuba ajak dia makan sayur," katanya bercerita mengenai Nomura, yang mula bermain bola sepak di sekolah menengah.
Anak perempuan mereka, Yuriko, 48, sangat mengagumi ayahnya kerana masih aktif pada usia 80-an.
"Kadang-kadang saya pergi menonton mereka bermain bola dan ia membuatkan saya rasa perlu bekerja lebih keras untuk menjaga kesihatan.
"Saya sangat mengaguminya. Saya berharap untuk menjadi sepertinya dan kekal aktif apabila meningkat lebih tua," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram