KAPTEN Johor Darul Takzim FC (JDT), Jordi Amat berkata, kualiti terbaik yang dimiliki pasukan Harimau Selatan itu adalah mentaliti kemenangan yang diterapkan dalam setiap perlawanan.
Ini selepas pasukan gergasi Liga Malaysia itu mencatatkan kemenangan bersih sepanjang 10 perlawanan domestik setakat ini.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain naturalisasi Indonesia itu berkata, impak positif berkenaan berlaku hasil cetusan idea bola sepak yang dimiliki pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
"Ia bukan mudah dan amat sukar, kami bermain untuk menang dalam setiap perlawanan. Saya boleh katakan bahawa perkara terbaik dalam pasukan ini adalah mentaliti kemenangan.
"Kami telah menunjukkannya dalam setiap perlawanan di laman sendiri atau di laman lawan, tidak kira siapa yang diturunkan.
"Pada akhirnya, apa yang saya boleh katakan adalah saya gembira atas segala usaha keras yang kami lakukan sejak pramusim ini dan ia adalah satu tugas yang bagus, di mana kami melalui perlawanan yang sukar.
"Ia membantu kami untuk mempamerkan prestasi yang baik dalam Liga Super. Kami sentiasa mahukan sesuatu yang lebih baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram