Siuu dengan senyuman, Faisal Halim bijak 'beli jiwa' fans, siap offer 'hadiah' istimewa Syawal


  • Podium
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Faisal ketika menggayakan aksi 'Siuu' selepas menjaringkan gol untuk Harimau Malaya. — Facebook/FAM

PADA awal musim ini, pemain sayap lincah negara, Faisal Halim mendapat kecaman daripada penyokong kerana kegagalannya untuk mencetak jaringan gol buat pasukannya, Selangor FC.

Namun segalanya berubah apabila pemain berusia 25 tahun itu semakin menjumpai rentaknya untuk menjaringkan lebih banyak jaringan selepas meledak gol pertama tahun ini ketika mewakili Harimau Malaya dalam aksi persahabatan menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim di Johor pada Mac lalu.

Selepas perlawanan berkenaan, Faisal menemui sentuhannya bersama skuad Gergasi Merah apabila mencetak gol sulungnya bersama pasukan itu ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC bagi saingan Liga Super.

Jaringan pertamanya itu membolehkannya menggayakan aksi idolanya, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol, 'Siuu' dan membiarkannya bergema di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.

Siuu laungan Faisal cukup dikenali dalam kalangan penyokong tanah air dan gaya tersebut sudah menjadi trademark pemain berasal dari Pulau Pinang itu apabila meraihkan jaringan.

Selain daripada aksi Siuu selepas mencetak jaringan gol, bekas pemain Terengganu FC (TFC) itu juga menambah senyuman kepada penyokongnya apabila memberi hadiah di bulan Syawal ini.

WhatsApp Image 2023-04-22 at 16.34.22

Tangkap layar pemberian bunga api dari Faisal.

Dalam satu perkongsian di laman Insta Story, pemain yang mesra dengan panggilan Mickey itu tidak melepaskan peluang berkongsi rezeki kepada penyokongnya dengan memberi bunga api sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Bunga api percuma akan diberi kepada kanak-kanak. 50 orang terawal akan ditaja oleh Mickey @FH,” tulis rakan Faisal di laman Insta Story yang dihantar semula pemain itu pada Jumaat.

Selain memberi bunga api percuma, Faisal juga dilihat beramah mesra bersama penyokongnya yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama bintang Harimau Malaya itu.

“Mickey pun lari. Tidak sempat orang beratur nak bergambar,” kata pengguna Instagram, Azwan6940 yang hadir di gerai bunga api tersebut.

Selepas perayaan Aidilfitri, Faisal akan kembali ke kem latihan Selangor FC bagi membuat persiapan menentang Sabah FC bagi aksi ke-10 Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram