WALAUPUN mendapat pelbagai hinaan, herdikan dan dituduh sebagai pendatang baharu dalam kancah bola sepak tempatan, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat Farhan Khair Fawazul Khair untuk kekal menjadi penyokong Johor Darul Takzim (JDT).
Ketika di awal penglibatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu membentuk revolusi baharu kelab bola sepak JDT, ramai pihak mempersoalkan angan-angan tersebut sehingga penyokong pasukan berkenaan juga menjadi mangsa kecaman.
Selepas Tunku Ismail berhasil menjadi impiannya sebagai kenyataan, masih ada lagi suara sumbang yang mengatakan kelab Harimau Selatan 'membeli liga' susulan kejayaan JDT menjadi juara Liga Super Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut, selain menjadi juara Piala AFC dan menembusi slot kempen Liga Juara-Juara AFC.
Meskipun begitu, penyokong yang mesra dengan sapaan FK itu sudah lali dengan kecaman berkenaan dan sentiasa mengingat pesanan pemilik kelab supaya menjaga adab kami sebagai rakyat Johor.
Farhan Khair cukup dikenali sebagai penyokong yang sering mengajak untuk menjadi penyokong lain untuk bersikap profesional.
“JDT beli liga, JDT beli pengadil, JDT rembat semua pemain. Tajuk dan perkara tersebut telah lali di telinga saya, mahupun seluruh penyokong JDT. Harus ingat, kelab bola sepak JDT berada di tahap sekarang bukan dengan sepantas kilat. Kami sebagai penyokong telah mengharungi liku-liku kehidupan yang gelap untuk mendapat sinar yang terang di kemudian hari.
“Sejujurnya pendapat saya sendiri, saya telah menyaksikan pemilik kelab JDT mengharungi pelbagai pancaroba dari tahun 2013 sehingga sekarang. Pemilik kelab JDT juga adalah satu-satunya insan yang melawan arus, dan bersendirian mengharungi cabaran untuk meletakkan bola sepak Malaysia dalam peta dunia,” katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, jika sekalipun pemilik JDT membeli liga, adalah lebih baik daripada awal beliau berbuat demikian dan tidak perlu untuk bersusah payah berkorban wang ringgit, masa dan juga tenaga untuk menaikkan pasukan bola sepak dari Selatan tanah air itu.
Tambahnya, daripada mendakwa JDT membeli liga, adalah lebih baik untuk mengikuti saranan Tunku Ismail mengenai menggunakan pengadil import dan juga teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk menyelesaikan masalah mutu pengadilan tanah air.
Farhan Khair akan kekal menyokong Harimau Selatan sama ada JDT berada di atas mahupun di kedudukan terbawah liga.
Dalam pada itu, penyokong berusia 37 tahun itu juga sering berpesan pada diri bahawa akan sering menyokong Harimau Selatan meskipun pada suatu hari nanti JDT akan berada di bawah.
“Selama sedekad menyokong kelab bola sepak kesayangan ini, hampir semua penyokong JDT semakin matang dalam menyokong. Tidak dinafikan ada segelintir yang bersikap kurang profesional, tapi situasi tersebut boleh dielakkan dengan didikan.
“Seperti apa yang kita nampak pada hari ini, kelab-kelab bola sepak lain agak sukar untuk bersaing dengan JDT, di dalam mahupun di luar padang. Ini adalah kerana ramai yang terlalu sibuk dengan hal-hal di JDT berbanding dengan sibukkan tentang hal kelab bola sepak sendiri. Selagi pembenci terus membenci, selagi itu JDT terus mendominasi.
“JDT adalah ‘Pioneer’, dan JDT akan terus mencatat sejarah sebanyak mungkin. Selagi mana penyokong letak kepercayaan, selagi itu JDT akan terus maju ke hadapan. Marilah kita bersama-sama kita menuju ke arah menjadi penyokong yang profesional.
“Kita mula tauladan ini dari selatan tanah air. Penyokong buat kerja penyokong. Tunjuk contoh untuk dijadikan contoh. Semoga bola sepak tempatan kita ini di angkat ke tahap yang lebih tinggi. What Can You Do? Wahai penyokong, apa yang anda semua boleh lakukan?,” akhirnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram