[VIDEO] Protes guna kapur oren, aksi Kejohanan Snuker Dunia tertangguh hampir 40 minit


  • Podium
  • Selasa, 18 Apr 2023

Pihak penganjur mengambil masa kira-kira 40 minit untuk membersihkan serbuk oren itu. — Agensi

AKSI Kejohanan Snuker Dunia yang berlangsung di Sheffield, England pada Isnin bertukar kecoh apabila dua orang lelaki tidak dikenali menuang serbuk berwarna oren ke atas meja snuker.

Kedua-dua individu yang dilaporkan ahli daripada kumpulan protes 'Just Stop Oil' bertindak demikian bagi meraih perhatian ramai dalam gerakan mereka itu.

Ketika kejadian itu berlaku, dua perlawanan sedang berlangsung, iaitu antara Robert Milkins dan Joe Perry sementara Mark Allen sedang berdepan Fan Zhengyi.

Menerusi rakaman, salah seorang daripada mereka bertindak menarik perhatian petugas perlawanan sementara seorang lagi melepasi hadangan keselamatan sebelum memanjat ke atas meja snuker.

Dia kemudiannya bertindak menabur serbuk berwarna oren dengan memakai baju berserta tulisan 'Just Stop Oil' sebelum dihentikan pihak keselamatan.

Individu tersebut difahamkan sedang di bawah tahanan pihak berkuasa. — Facebook/The Australian

Sebelum ini, kumpulan protes tersebut turut melakukan gangguan ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Everton dan Newcastle United.

Louis Mckechnie bertindak melengahkan permainan apabila mengikat dirinya kepada tiang gol sehingga memaksa pengadil perlawanan menghentikan aksi selama lapan minit.

'Just Stop Oil' dalam satu kenyataan mengatakan tindakan itu adalah satu bentuk desakan untuk memastikan penggunaan minyak petrol berkurangan dalam kalangan masyarakat.

"Mereka sedang dalam usaha meminta agar kerajaan United Kingdom menghentikan segala projek berkaitan bahan api fosil dan kami harap agar penganjur sukan tidak menghalang usaha kami," tulisnya.

Kedua-dua ahli kumpulan protes berkenaan difahamkan sudah ditahan pihak berkuasa dengan permainan berlangsung kira-kira 40 minit selepas insiden itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram