Black Monday: Tiada mogok dilaporkan setakat ini — MMA


  • Massa
  • Isnin, 03 Apr 2023

Penganjur gerakan itu yang dikenali dengan nama Mogok Doktor Kontrak menggesa orang ramai untuk mengelak menggunakan kemudahan kesihatan dalam tempoh tiga hari tersebut.

TIADA mogok dilaporkan berlaku dalam kalangan doktor kontrak setakat petang Isnin, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Setakat ini, semakan dibuat oleh Persatuan Perubatan Malaysia hari ini (Isnin) mendapati tiada mogok berlaku di mana-mana fasiliti penjagaan kesihatan awam di seluruh negara.

“Bagaimanapun, isu ketakutan orang ramai perlu ditangani,” kata Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Muruga Raj berkata, persatuan itu menerima panggilan daripada orang ramai yang bertanyakan mengenai operasi kemudahan penjagaan kesihatan berikutan laporan mogok doktor kontrak yang dirancang dari 3 hingga 5 April ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kemudahan penjagaan kesihatan awam berfungsi seperti biasa.

Muruga berkata, MMA berharap agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengurangkan kebimbangan tersebut dan meyakinkan orang ramai bahawa semua perkhidmatan penjagaan kesihatan disediakan tanpa sebarang gangguan dengan mengeluarkan kenyataan dan memberi kemas kini media sosial.

“Mesej mengenai isu itu menyebabkan panik dan ketakutan tersebar di media sosial. Ini juga perlu dibalas dengan mesej yang betul daripada pihak berkuasa.

"Kami menasihatkan orang ramai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima dan hanya mempercayai sumber yang boleh dipercayai untuk sebarang berita atau kemas kini," tambahnya.

Penganjur gerakan itu yang dikenali dengan nama Mogok Doktor Kontrak menggesa orang ramai untuk mengelak menggunakan kemudahan kesihatan dalam tempoh tiga hari tersebut.

Tinjauan The Star di hospital di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak menunjukkan semuanya berjalan lancar dan tiada gangguan dalam perkhidmatan disediakan.

Mogok Doktor Malaysia dijangka menyaksikan doktor mengambil cuti kecemasan dan perubatan untuk tempoh tiga hari sebagai tanda protes. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram