Boszam kecil hati dituduh tidak serius, "Orang lupa apa yang kita dah buat”


  • Podium
  • Khamis, 13 Apr 2023

Tekanan mula diberikan kepada Norizam yang dikatakan gagal menguruskan skuad TRW dengan baik. — Facebook/TRW Kelantan FC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

SESETENGAH orang mengenalinya sebagai Zamburger dan kepada sesetengah yang lain pula, dia lebih mesra disapa Zamsaham.

Apa pun, kecenderungan untuk menggelarnya usahawan tempatan, Norizam Tukiman, adalah orang yang sama – yang serius dengan apa yang dilakukannya.

Usah sesekali cuba mempertikaikan kesungguhannya dalam mengejar cita-cita kerana sebagai seorang yang membesar di kawasan setinggan dan menjaja burger di usia remaja untuk kelangsungan hidup, dia harus lebih tahu jerih-perih untuk membina kejayaan sehingga bergelar jutawan.

Cuma, kata-nista yang dia berasakan tidak berhak menerimanya, mungkin antara picisan kelemahannya hingga boleh mengelabui matlamatnya hanya kerana menurutkan rasa kecil hatinya apabila dituduh tidak serius hingga jutaan pelaburannya dirasakannya sia-sia.

Sebagai latar belakang, Norizam yang telah melengkapkan pengambilalihan pasukan Kelantan FC pada September 2020 dengan membeli saham bernilai RM3 juta di samping melunaskan hutang Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebanyak RM3.8 juta, termasuk tunggakan gaji, cukai pendapatan dan caruman KWSP, yang membawa kepada jumlah keseluruhan RM6.8 juta, mana mungkin dia tidak serius.

Tiba-tiba, dalam satu hantarannya di Facebook pada Isnin, Norizam, 42, mengejutkan ramai dengan mengumumkan kesediaan untuk mengundurkan diri sekiranya penyokong berasakan dirinya tidak layak menjadi pemilik pasukan Kelantan FC.

1866545

Pelbagai usaha dilakukan Boszam (dua dari kanan) sejak bergelar pemilik skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Skuad The Red Warriors (TRW) itu, yang bergelar naib juara Liga Perdana musim 2022, sekadar menang satu daripada lapan perlawanan Liga Super musim ini dan sudah kalah enam kali untuk terperosok di tangga ke-13 dengan hanya empat mata ketika ini.

"Pelbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 hingga sekarang. Duit saya yang Persatuan KAFA hutang RM 3.8 juta belum diterima lagi sesen pun.

"Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi pemilik kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yang mampu," katanya dalam hantaran itu.

Daripada temu bualnya dengan sebuah stesen televisyen kelmarin, mudah untuk menyimpulkan bahawa Boszam sangat berkecil hati dengan tindakan sebilangan penyokong menggantung sepanduk sebagai tanda protes, antaranya berbunyi: 'TRW Kelantan FC bukan kelab menjual kopi dan burger! Caro (Kisahkan) bolalah.'

Berulang-kali sepanjang temu bual itu, dia menyuarakan rasa terhina dan diperlekehkan seolah-olah dia langsung tidak mengutamakan peningkatan pasukan, sebaliknya dituduh pula hanya mementingkan keuntungan.

Barangkali ia agak keterlaluan tapi harus terlintas di fikirannya yang sebilangan penyokong Kelantan tidak pun menghargai pengorbanannya dari segi masa dan jutaan ringgit yang dilaburkan di samping tindakan mengaibkannya sebagai tidak mengenang budi.

Mudah benar mereka lupa perihal pasukan Kelantan pada tahun 2000 yang tidak habis-habis dengan cerita pemainnya tidak dibayar gaji hingga ramai bakat terbaik mereka “hungga lari” ke negeri lain, yang kesannya terus terbawa-bawa ke musim ini.

Orang yang dikatakan 'tidak serius' inilah yang datang menyelamatkan pasukan sedangkan dia tidak perlu pun berbuat demikian hingga kini dituduh bermacam-macam.

340650660_198706569573175_7345315779126983775_n

Antara sepanduk yang sepertinya melupai jasa Norizam sejak 2020. Media sosial

“Terfikir juga kalau aku tak serius, takkan aku pergi beli pasukan bola sepak Kelantan ni.

“Mak bapak saya tak suka saya ambik (pasukan Kelantan), kawan-kawan saya kata jangan ambik. Tapi saya beranikan diri sebab saya suka bola sepak Kelantan.

“Bila saya dikata macam-macam, (digelar) ZamBual, ZamPenipu, kalau kau kata aku tak cukup bagus, ambillah kelab ini, saya serahkan kepada orang yang layak.

“Saya bukan nak dipuja, saya bukan nak dipuji, bukan... saya tak perlukan itu semua. Tapi janganlah bila kita menang, oh bagus... Tapi bila ada masalah, dikatakan teruk, segala benda perkataan yang tidak baik. Dan bila kalah, kita dihina seperti tak ada harga diri.

“Pendekkan cerita, bukan saya kecewa atau merajuk, cuma saya rasa orang lupa apa yang kita dah buat,” sambungnya dalam temu bual Nadi Arena.

Cuma, untungnya Boszam membayangkan tidak akan meneruskan niatnya untuk melepaskan pasukan, dengan berkongsi perancangan baharunya untuk melihat Kelantan FC, di bawah ketua jurulatih baharu, Frank Bernhardt, melakukan sesuatu untuk memperbaiki kedudukan pasukan.

Tewas 0-3 kepada Selangor dalam tugasan pertamanya Ahad lalu, perhitungan nasib buat jurulatih berbangsa Jerman itu kini berbaki lima perlawanan lagi dalam pusingan pertama ini untuk TRW menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik liga.

“Saya beritahu kepada Frank Bernhardt, ini KPI yang saya harap dia capai. Kalau dia tak capai, kita terpaksa tukar, itu normal. Takkan tak capai, saya buat bodoh tunggu sampai habis semua perlawanan.

“Jadi, kita bagi dia peluang. Tapi kalau dia dah kalah sampai lima kali, dalam kontrak dah tertulis, kita terpaksa tukar.

“Takkan saya nak tulis sampai 10 perlawanan. Habis kalau sampai 10 perlawanan, aku rasa kat depan ada sepanduk besar-besar lagi pada aku kata-kata yang lebih hina.

“Kalau orang tu bagus, hari pertama lagi dia dah boleh rancang,” katanya mengenai cabaran buat Bernhardt.

336298923_162223980103677_9156737929629783187_n

Bernhardt (kiri) diberi kepercayaan untuk menyelematkan musim Kelantan FC. Facebook/TRW Kelantan FC

Norizam berharap peminat Kelantan FC terus mendoakan kejayaan skuad TRW, dengan pesanan: “Terima kasih peminat, ini dah tahun ketiga saya dengan Kelantan.

“Saya dah jangka akan ada kumpulan-kumpulan yang tak sukakan saya duduk dalam industri bola sepak. Musuh dalam bola sepak bukan orang luar tapi dalam bola sepak itu sendiri.

“Jangan hanya kita menyokong ketika pasukan sedang menang, menyokong ketika kalah itulah fans yang sebenar.

“Saya harap peminat bola sepak Kelantan doakan kejayaan kita. Insya-ALLAH kita bukan bangkit tapi kita akan tunjukkan sesuatu kepada industri bola sepak kita,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram