Cheng Hoe, Selangor siap sedia segala kemungkinan bertemu Sri Pahang


  • Podium
  • Sabtu, 15 Apr 2023

Cheng Hoe juga mengakui kualiti pemain yang dimiliki skuad Tok Gajah. — Facebook/Selangor FC

KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menggesa barisan pemainnya agar berwaspada dengan ancaman yang bakal disajikan Sri Pahang menjelang aksi pusingan kedua Piala FA di Petaling Jaya pada Sabtu.

Tegasnya, skuad Gergasi Merah itu perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk perlawanan diheret ke masa tambahan dan pertemuan sepakan penalti kerana menyedari Sri Pahang juga bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan.

"Sri Pahang mempunyai gerakan 'set-piece' yang cukup berbahaya di mana ada Bruno. Selain itu, Azam Azih juga mampu melakukan hantaran terus yang boleh masuk ke dalam kawasan lawan dengan baik.

"Kami juga menyedari barisan pertahanan mereka memiliki pemain berpengalaman seperti Fadhli Shas dan penjaga gol, Izham Tarmizi (Roslan), juga bermain dengan sangat baik," kata Cheng Hoe.

Tambahnya, dia juga tidak mahu anak-anak buahnya berada dalam zon selesa di samping mengakui kualiti yang dimiliki pasukan Pantai Timur itu.

"Kami barisan kejurulatihan bersedia terhadap sebarang kemungkinan kerana kami tidak boleh menganggap pasukan Sri Pahang boleh diselesaikan dalam tempoh 90 minit," katanya lagi.

Sebagai rekod, kedua-dua pasukan itu terikat seri 1-1 dalam saingan Liga Super yang diadakan di Stadium MBPJ, Selangor pada bulan lalu.

Pengendali berusia 54 tahun itu turut mengesahkan tonggak tengah kelahiran Jordan, Noor Al-Rawabdeh, tidak dapat diturunkan kerana masih bergelut dengan kecederaan betis.

Sri Pahang sebelum ini layak ke peringkat 16 pasukan selepas menundukkan Perak FC 2-1 di Stadium Ipoh, Perak pada Mac hasil jaringan Malik Mat Arif dan Stefano Brundo. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram