BEKAS penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi mahu menjadikan musim 2023 sebagai medan kebangkitannya bersama Negeri Sembilan FC.
Selepas hampir dua tahun namanya seakan-akan sepi kerana kecederaan serius, penyerang berusia 28 tahun itu semakin menemui sentuhan penyudahnya.
Meskipun lebih kerap beraksi sebagai pemain gantian dalam empat perlawanan, perubahan ketara dapat disaksikan sejak berhijrah dari Selangor FC awal tahun lalu.
Menjelang perlawanan kedua Piala FA menentang PIB FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan pada Sabtu, Shahrel bertekad untuk menjadikan pasukan dari Liga M3 itu sebagai titik permulaan.
Ini termasuk untuk membantunya mendapatkan gol kedua musim ini selepas menjaringkan gol dalam aksi Liga Super antara skuad Jang dan Kelantan FC sebelum ini.
"Sebagai seorang penyerang, semua akan mengharapkan kami untuk menjaringkan gol kerana untuk apa menjadi penyerang jika tidak dapat menjaringkan gol.
"Bagi saya, jika pasukan memberikan 100 peratus komitmen, semua pemain akan membantu penyerang untuk menjaringkan gol," katanya kepada Astro Arena.
Musim ini, pemain berusia 28 tahun tersebut perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama dengan seorang lagi penyerang, Casagrande.
Namun, bagi Shahrel, kepulangannya dari satu tempoh kecederaan yang panjang mendesaknya untuk kembali memperolehi jaringan peribadi dengan lebih kerap.
"Selepas pulih daripada kecederaan, memang diri saya sendiri mahu membuktikan untuk kembali menjaringkan gol seperti yang setiap orang harapkan.
"Jika saya tidak dapat menjaringkan gol menentang pasukan Liga M3, sudah pasti ia akan menjadi satu kekecewaan buat diri saya sebagai sorang penyerang," katanya. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram