‘Gunakan akal, coach bukan pekerja buruh’, Sathianathan nasihat Boszam ikut undang-undang FIFA


  • Podium
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Norizam menegaskan pihaknya akan menukar jurulatih TRW sekiranya Bernhardt mengalami lima kekalahan musim ini. — Facebook/TRW

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman baru-baru ini membuat kenyataan kontroversi apabila menegaskan pihaknya akan menukar jurulatih sekiranya pengendali baharu, Frank Bernhardt mengalami lima kekalahan musim ini.

Bernhardt secara rasmi dilantik sebagai pengendali baharu Kelantan FC berkuat kuasa pada 9 April lalu bagi menggantikan Choi Moon-sik yang digugurkan daripada mengendali skuad The Red Warriors (TRW) susulan masalah prestasi.

Namun kenyataan daripada Norizam ataupun lebih mesra dengan panggilan Boszam itu menarik perhatian apabila peguam sukan, Zhafri Aminurrashid berkata, klausa pemecatan jurulatih jika pasukan tewas dalam lima perlawanan tidak boleh dikuatkuasakan.

Bukan itu sahaja, ejen Moon-sik, Myeongho Jeong yang menggunakan akaun @leo_jeong10 juga meminta Norizam untuk mempelajari undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Turut mengutarakan pandangannya dalam perkara berkenaan adalah Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang menegaskan bahawa Norizam perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh badan bola sepak antarabangsa itu.

WhatsApp Image 2023-04-14 at 16.32.04

Sebelum menjadi ketua jurulatih, Bernhardt dilantik sebagai Pengarah Teknikal Kelantan FC. — Facebook/TRW

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu berkata, adalah lebih realistik jika pemilik Kelantan itu menetapkan tempoh masa kepada pengendali berasal dari Kiel, Jerman itu dan bukannya membuat undang-undang sendiri.

“Komen saya senang sahaja. Ikut sahaja peraturan FIFA. Tak boleh nak buat undang-undang sendiri. Setahu saya sebagai jurulatih, syarat diletakkan tidak akan ganggu kontrak yang sebenarnya. Frank bukan orang tempatan, dia pun tahu. Jadi ikut undang-undang FIFA.

“Tidak realistik untuk tetapkan syarat itu. Jika awak ambil seorang jurulatih, maknanya awak percaya dia. Awak ingat kami ini pekerja buruh?

“Kita ini profesional. Jika awak ambil seorang jurutera atau doktor, takkan awak cakap ‘jika selamatkan nyawa 14 orang daripada 20 orang, kontrak akan disambung’.

“Mesti ada tempoh. Dia tidak kira berapa kali kalah tetapi ikut tempo masa. Jika nak cuba tiga bulan dan dia (jurulatih) sanggup, silakan,” katanya kepada Majoriti.

Tambah bekas pengendali Sarawak United FC (SUFC) itu, seorang pemlik juga sepatutnya tidak meletakkan kesalahan kepada jurulatih sahaja kerana pemain yang tidak cemerlang juga boleh menjadi faktor kepada kekalahan.

WhatsApp Image 2023-04-14 at 16.32.03

Pemain Kelantan ketika sesi latihan untuk perlawanan Piala FA menentang Manjung City. — Facebook/TRW

Oleh itu, untuk menjadi pasukan yang boleh memberi saingan sengit, pemilihan pemain perlulah diambil kira terlebih dahulu sebelum meletakkan sasaran tidak realistik kepada seorang jurulatih.

“Macam pemain, saya bagi contoh. Jika coach bagus tapi pemain tak, macam mana? Bukan nak tuju kepada sesiapa tetapi kalau pemain yang tak bagus ditandatangani pengurusan. Ia bukan kegagalan jurulatih tapi pemain.

“Nak kalahkan JDT (Johor Darul Takzim) memang tak dapat. Jadi gunakan akal sikit, mengapa tak letak syarat pada pemain. Guna akal atau jangan pandai-pandai. Ikut sahaja peraturan FIFA,” ujarnya.

Syarat yang diberi Norizam kepada Bernhardt itu dikatakan semasa temu bual di Astro Arena dan menurutnya ia terkandung di dalam kontrak pengendali Jermain itu bersama Kelantan FC.

Malah, Norizam turut mengakui bahawa persetujuan tentang perkara tersebut sudah dicapai bersama Bernhardt. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram