Lepas kononnya kena 'game' ejen Korea, Kelantan kini terima bantuan dari Afrika


  • Podium
  • Sabtu, 15 Apr 2023

Kelantan FC masih bergelut untuk mendapatkan rentak dalam Liga Super musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

PERBALAHAN antara pihak pengurusan Kelantan FC dan ejen berpangkalan di Korea Selatan sepertinya tidak berpenghujung dengan kedua-dua mereka sepertinya masih enggan mengalah.

Isu yang berbangkit berpunca daripada keputusan 'merehatkan' bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik menyaksikan pelbagai pekung pasukan dibuka.

Ketua Pegawai Eksekutif JMH Sport Agency, Leo Jeong menjadi individu yang lantang membincangkan perkara itu dengan berkongsi serba sedikit kekurangan kelab Pantai Timur itu.

Ini termasuk mengatakan bahawa pemilik kelab, Norizam Tukiman gagal melangsaikan bayaran gaji pemain sehingga dua bulan selain tidak memberi penekanan dari segi kebajikan pasukan.

Konflik itu sepertinya mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong sehingga menyebabkan sedikit perpecahan di antara satu sama lain.

Namun, dalam kehangatan isu yang masih hangat diperkatakan itu, Kelantan FC sepertinya menerima berita gembira yang dilihat mampu menghidupkan semula musim yang suram mereka.

WhatsApp Image 2023-04-15 at 11.25.09

Shekoo (kiri) bersama-sama Ousmane Fane ketika jendela perpindahan lalu. Instagram/shekoo1989

Perkara tersebut berikutan tular satu hantaran Instagram yang memaparkan seorang ejen dari Mesir sepertinya akan membantu skuad The Red Warriors (TRW) untuk kembali ke landasan.

Individu yang dikenali sebagai Shekoo difahamkan merupakan seorang pemain kelab semi-profesional, Shah Alam Antlers di samping terlibat dalam agensi bola sepak, Shekoo Stars Agency.

Dia yang baru sahaja berusia 33 tahun itu sememangnya mempunyai satu hubungan akrab dengan pengendali baharu Kelantan FC, Frank Bernhardt berdasarkan foto-foto di laman Instagram peribadinya.

Dalam satu hantaran di Instastory miliknya pada Sabtu, Shekoo menegaskan dia akan mencuba sedaya upaya untuk membawa masuk pemain import berkualiti.

"Saya akan cuba untuk mendaptkan import terbaik untuk membantu Kelantan FC dengan bajet yang kecil. Saya juga tidak akan meminta sebarang bayaran sebagai seorang ejen.

"Ini merupakan khidmat percuma yang boleh saya berikan untuk membantu jurulatih dan kesemua penyokong TRW. Percayalah dengan proses, kita akan berada di puncak tidak lama lagi," tulisnya.

Lebih menarik lagi, Shekoo sekali lagi membakar semangat pengikut setia Kelantan FC apabila berkongsi satu gambar memaparkannya dengan Bernhardt serta legenda kelab, Mohammed Ghaddar.

340902106_1647916252298595_7606003825858182418_n

Shekoo (kanan) bersama Bernhardt (tengah) dan Ghaddar. Media sosial

Meskipun usia penyerang itu sudah mencecah 39 tahun, pengalaman yang diraih sepanjang berada di Pantai Timur boleh memberi kelebihan buat pasukan sekiranya dia dibawa masuk sebagai staf kejurulatihan.

"Kita akan melakukannya bersama-sama, jumpa anda tidak lama lagi," tulisnya dalam satu hantaran berbeza.

Ghaddar sememangnya satu figura yang cukup disegani dalam kalangan penyokong tatkala penyerang antarabangsa Lubnan itu pernah beraksi buat beberapa musim dalam skuad TRW.

Antara momen terbaik yang pernah diraihnya dalam Liga Super adalah apabila membantu Kelantan FC meraih gelaran treble pada 2012 dengan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim yang sama.

Shekoo sebelum ini muncul sebagai seorang individu penting yang membantu Penang FC sepanjang jendela perpindahan ketika mereka membawa masuk Ousmane Fane, Soony Saad dan Curt Dizon.

Di samping itu, dia juga pernah membantu Perak FC untuk mendapatkan khidmat seorang lagi pemain Timur Tengah, Jad Noureddine pada 2021.

Bukan itu sahaja, skuad The Bos Gaurus (TBG) juga pastinya terhutang budi akan sumbangannya apabila dia pernah membantu mereka mendapatkan khidmat pengendali berpengalaman, Chong Yee Fatt pada tahun yang sama.

Selain nama-nama yang disebut, beberapa pemain lain juga masih berada di bawah agensi dikendalikan Shekoo, termasuk bekas perancang Penang FC, Hilal El-Helwe serta seorang lagi pemain kelahiran Lubnan, Rabih Ataya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram