PERTEMBUNGAN Selangor FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu bagi pusingan kedua Piala FA 2023 disifatkan sebagai 'deja vu' apabila kedua-dua pasukan berkenaan pernah seri 1-1 dalam Liga Super 2023 pada 5 Mac lalu.
Kedua-dua skuad Red Giants dan Tok Gajah itu juga masing-masing berada dalam lingkungan teratas dalam liga berkenaan dan membuatkan pasukan dari Pantai Timur itu nampak selesa berada di kedudukan ketiga dalam carta.
Bagaimanapun, prestasi permainan yang ditunjukkan oleh skuad Tok Gajah ketika menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United FC dalam aksi Liga Super pada Selasa di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang membuatkan para peminat resah terhadap pasukan kesayangan mereka itu.
Bukan apa, walaupun bermain di laman sendiri, pemain penyerang import mereka, Kpah Sherman asyik terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama perlawanan menentang Kelantan United FC.
Kalau bukan kerana jaringan pemain pertahanan tengah, Stefano Brundo pada masa kecederaan, mungkin skuad Tok Gajah akan kempunan membawa pulang tiga mata berharga ketika bertemu Kelantan United.
Jadi demi berdepan skuad Red Giants pada Sabtu, para penyokong tegar pasukan Tok Gajah masing-masing berharap skuad kesayangan mereka tidak mengulangi aksi sendu yang ditunjukkan semasa menentang Kelantan United FC sebelum ini.
Pemain Sri Pahang semasa sesi latihan di Taman Gelora, Kuantan, Pahang sebelum menentang Selangor FC pada Sabtu. — Facebook/Sri Pahang FC.
"Harap-harap tidak ada 'deja vu' corak permainan macam masa lawan Kelantan United FC hari itu.
"Koi (saya) dah harap Pahang kalah lawan Kelantan sebab geram main entah apa-apa, tapi nak menang selalu," kata Hayati Abdul.
Bagi pemerhati bola sepak, Hazz Ayob, dia berharap pasukan Sri Pahang kekal berwaspada dengan corak permainan yang diatur skuad Merah Kuning itu.
"Harap Sri Pahang bermain bolasepak moden mengunakan pemain tengah dan sayap sebaik mungkin. Ada taktikal tersusun. Jangan main macam lawan Kelantan United FC. Penyokong pun geli dan bosan.
"Selangor corak serangan mereka tersusun kemas, harus waspada. Nor Azam Azih dan Lucas Silva (boleh) rehatkan bagi buat kuih raya," cadangnya.
"Kawan harap esok main betul-betul ya, abang misai (David Rowley) itu letak balik tempat dia di bahagian tengah. Okey good luck hogoh Pahang hogoh," kata Iz Senas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram