KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad ada banyak sebab untuk berasa tidak gembira dengan mutu permainan ditunjukkan pasukan ketika menentang Kelantan United pada Isnin.
Tanpa berselindung, beliau mengakui ia antara aksi terburuk barisan pemainnya musim ini, di sebalik Sri Pahang FC mencatat kemenangan dramatik 1-0 untuk melonjak ke tangga ketiga liga.
Skuad Tok Gajah begitu hampir mencatat keputusan seri ketiga berturut-turut di laman sendiri, sebelum Stefano Brundo menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit keempat masa kecederaan.
"Sudah tentu kemenangan ini satu suntikan motivasi. Saya lega kerana setiap kemenangan adalah penting. Saya puas hati dengan tiga mata, tetapi saya perlu akui tidak puas hati dengan cara kita bermain.
"Apabila lawan team kelompok bawahan, pemain macam over-confident, main longlai, lesu, tak bermaya. Saya sudah selalu ingatkan, game ni ada dua babak, kita kena perform di kedua-dua babak," kata Fandi seperti dipetik laman Sri Pahang FC.
Fandi memuji sikap tidak putus asa pemain Sri Pahang FC yang dianggap perkara positif dalam perlawanan menentang Kelantan United. — Facebook/ Sri Pahang
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, anak-anak buahnya sekali lagi bergelut mencari konsistensi dalam permainan.
"Kita main lagi teruk daripada yang selalu, biasanya ada juga kita buat serangan di separuh masa tapi kali ini totally tak ada.
“Persefahaman pun tiada, kurang motivasi dan mereka macam terlalu letih. Mujur kita bangkit daripada tidur dan menyerang walaupun sudah masuk masa kecederaan," katanya.
Katanya lagi, sikap tidak putus asa dan enggan berhenti mencuba itu adalah satu-satunya perkara positif dalam perlawanan berkenaan.
"Sepanjang perlawanan, agak risau juga dengan serangan balas Kelantan United, tapi pemain lawan juga banyak yang alami cramp, kita ambil kesempatan situ untuk kekalkan penguasaan,” ujar Fandi.
Stefano Brundo menjadi penjaring gol tunggal perlawanan pada minit keempat masa kecederaan. — Facebook/ Sri Pahang
Meskipun Sri Pahang belum tewas musim ini apabila mencatat lima kemenangan dan empat keputusan seri (termasuk Piala FA), Fandi berpendapat, ia bukan sesuatu untuk dibanggakan dan mahu kelemahan yang terserlah ketika menentang Kelantan United diperbaiki.
“Masalah kita di tengah, hantaran bola kepada penyerang yang sentiasa sangkut. Mereka cuba bermain direct ball ke atas, tapi apabila tak cukup pemain di atas, tak cukup sokongan, kita hilang bola. Pemain atas terpaksa naik turun jadi penat dan fokus hilang," ujarnya.
Sri Pahang FC berada di kedudukan ketiga carta Liga Super di belakang Johor Darul Takzim dan Selangor FC dengan kutipan 16 mata setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram