PEMAIN muda Johor Darul Takzim (JDT), Feroz Baharudin yang kini sedang meningkat naik antara prospek pertahanan moden terbaik buat skuad kebangsaan ketika ini.
Ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Feroz menjadi tumpuan penyokong apabila sebagai pemain pertahanan dia berjaya menjaringkan gol dan assist kepada Fernando Forestieri.
Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini menampilkan aksi konsisten di dalam Liga Super sehingga berjaya menarik minat ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk memanggilnya ke dalam skuad Harimau Malaya.
Bekas pemain Harimau Muda ini turut melakukan debut bersama skuad kebangsaan ketika menetang Turkmenistan dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada bulan lalu.
Feroz sejak hujung musim lalu mula mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT sehingga berjaya mengetepikan Shahrul Saad yang sebelum itu sering menjadi pilihan ketua jurulatih.
Musim ini pemain berketinggian 1.8 meter itu turut menjadi pilihan jurulatih baru JDT, Esteban Solari untuk bergandingan dengan kapten pasukan, Jordi Amat.
Gandingan duo pertahanan ini menyaksikan JDT hanya bolos satu gol menerusi sepakan penalti oleh Ismahil Akinade ketika menentang Kelantan FC.
Feroz dilantik menjadi kapten skuad muda negara bawah-16 tahun ketika aksi persahabatan menentang Arab Saudi pada 2016. — Facebook/FAM
Namun terdapat segelintir penyokong Pahang mula mengatakan kejayaan Feroz ketika ini hasil didikan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) semasa dia remaja.
Menerusi profil Feroz, anak kelahiran Kota Tinggi, Johor sebelum ini menimba ilmu bola sepak di SSMP selama lima tahun sebelum menyertai skuad Piala Presiden JDT.
"Tahniah hasil didikan dari Pahang yang tolong JDT," kata Kukaka.
"Berkat usaha dia dan semua fasiliti serba lengkap di JDT melonjakkan prestasi dia ke tahap yang lebih baik," ujar Aziz Manas.
"Biarlah anak negeri lain nak main dekat JDT, gaji besar dan kebajikan pun dijaga," jelas Kendy Azizah.
"Benda boleh claim jangan tak claim asalkan puas hati," luah Haqiem Afiq.
Feroz melakukan debut bersama JDT pada 2020. — Facebook/JDT
Selain Feroz beberapa pemain lain yang menyertai skuad muda JDT sudah mula menunjukkan hasil yang baik antaranya ialah Arif Aiman, Darly Sham, Najmuddin Akmal dan ramai lagi.
JDT kini sedang mendahului carta liga dengan 24 mata dan menang kesemua lapan perlawanan Liga Super.
Manakala carta penjaring terbanyak dikuasai oleh Forestieri dengan tujuh gol manakala Arif Aiman lima gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram