KEKALAHAN Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) di tempat lawan pada Ahad lalu semamangnya menjadi tamparan hebat buat kelab Utara tanah air tersebut.
Skuad Sang Kenari pada awalnya dilabel sebagi salah sebuah pasukan terbaik untuk sekurang-kurangnya menyekat asakan bertubi-tubi JDT melihat kepada kualiti pemain yang dimiliki mereka.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila mereka hanya mampu menyaksikan enam gol dijaringkan pemain Harimau Selatan sepanjang 90 minit permainan.
Perlawanan tersebut sepertinya membuktikan bahawa terdapat jurang yang amat besar antara KDA FC dan pendahulu Liga Super itu meskipun perbelanjaan besar sudah dibuat ketika jendela perpindahan yang lalu.
Bagi majoriti besar penyokong Hijau Kuning, perubahan radikal masih perlu dilakukan pihak pengurusan sekiranya mahu membina sebuah pasukan yang mampu bersaing dengan JDT.
Antara pandangan yang diberikan mereka adalah untuk memperkukuhkan lagi barisan kejurulatihan pasukan apabila kemampuan Nafuzi Zain sebagai pengendali mula dipertikaikan.
Satu kekecewaan yang cukup besar pastinya dirasakan skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Jurulatih yang mencipta nama bersama Terengganu FC itu dikatakan gagal untuk menerapkan taktikalnya dalam pasukan meskipun Sang Kenari ketika ini sedang berada di kedudukan keempat Liga Super.
Dalam ratusan pandangan yang dilontarkan di media sosial, beberapa daripadanya menegaskan bahawa pihak pengurusan wajar membawa masuk semula jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah.
Hal ini berikutan namanya yang cukup megah dalam dunia bola sepak tanah air selepas membimbing Kedah FA menjadi sebuah pasukan terbaik dari tahun 2006 hingga 2008.
Tambahan pula, hubungan luar padang yang ditunjukkan Azraai dengan pasukan berkenaan dikatakan cukup akrab melihat kepada perkongsian daripadanya di media sosial.
Namun, menjawab akan perkara itu, jurulatih berusia 71 tahun itu bertegas bahawa dia lebih berminat untuk tidak lagi terlibat dalam sukan terbabit.
"Maaf, saya sudah bersara dari kejurulatihan. Jangan dibandingkan dengan kejayaan saya semasa era 'Double Treble'. Masa sudah berlalu.
"Yang penting beri Coach Nafuzi Zain masa untuk membentuk sebuah pasukan dan kita kena yakin dengan proses yang dia sedang rancang," katanya menerusi satu hantaran di Facebook peribadinya.
Nafuzi (kiri) dilihat sebagai calon terbaik untuk membimbing skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Sebelum ini, Azraai turut beberapa kali menyeru orang ramai untuk terus menyokong Nafuzi memandangkan jurulatih KDA FC itu pernah bergelar anak murid kepada Azraai.
Tambahnya lagi, penyokong juga tidak boleh terlalu memberi tekanan kepada pihak kejurulatihan sekiranya pasukan terus mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan.
"Yang penting, pemain-pemain kena ada sikap yang betul terhadap pasukan. Perlawanan menentang JDT telah mendedahkan kelemahan-kelemahan kita, harus diperbetulkan dengan segera.
"Kesian kepada pemilik kita, Tan Sri Daud Bakar. Setelah beliau usaha macam-macam demi pasukan kita, tapi pemain bersikap sambil lewa," tegas Azraai lagi.
Ketika ini, jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah itu lebih kerap dilihat berada di kaca televisyen sebagai pemerhati serta pengulas bola sepak.
Sentuhannya sebagai seorang pengendali juga pastinya sukar dilupakan dengan khidmatnya juga pernah ditagih beberapa kelab Liga Super lain, termasuk Negeri Sembilan FA dan Perak FA.
"Apa sekali pun, saya sedia membantu sekiranya pasukan memerlukan nasihat dan tunjuk ajar melalui pengalaman saya perolehi kejayaan lampau," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram