AKSI Liga Super antara Johor Darul Takzim (JDT) berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad sememangnya mencuri tumpuan penyokong bola sepak tempatan.
Ini apabila terjadi insiden yang mana JDT dihadiahkan sepakan penalti buat kali kedua selepas pemain sayapnya, Arif Aiman Hanapi dijatuhkan oleh pertahanan Sang Kenari, Azrin Afiq pada minit ke-68.
Forestieri melakukan 'helah' apabila tidak merembat terus, sebaliknya melorongkan bola perlahan ke tepi ke arah Arif Aiman yang kemudiannya menjaringkan gol, yang sepatutnya menjadi gol kelima JDT.
Percubaan sepakan ‘ala-ala Barcelona’ itu bagaimanapun tidak diterima pengadil oleh Razlan Joffri Ali kerana Arif Aiman dari kedudukan belakang berlari lebih awal sebelum Forestieri menyentuh bola.
Arif Aiman dikasari Azrin Afiq yang menyaksikan sepakan penalti kedua diberikan kepada JDT. — Facebook/ Johor Southern Tigers
Insiden tersebut mendapat reaksi daripada bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh yang tampil menjelaskan mengapa jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan.
Subkhiddin dalam penjelasan di Twitter berkata, gol tersebut tidak dikira kerana pemain lawan terlebih dahulu berada di dalam kawasan penalti sebelum bola dimainkan oleh rakannya yang mengambil sepakan penalti.
"Jika penyepak menjaringkan gol terus dari sepakan penalti dan pada masa sama kesalahan (encroachment) dilakukan oleh rakan penyepak, maka sepakan perlu diambil semula.
"Jika gol tidak dikira, pengadil menghentikan perlawanan dan mengarahkan sepakan percuma terus (indirect free kick) kepada pasukan bertahan.
“Pemain penyerang No.9 terlebih dahulu berada di dalam kawasan penalti sebelum bola dimainkan oleh rakannya yang mengambil sepakan penalti (encroachment by attacking player)," jelasnya.
Dalam situasi itu, Arif Aiman dilihat terlebih dahulu memasuki kotak penalti sebelum bola ditendang Forestieri dan kemudiannya menjaringkan gol sekali gus menyaksikan berlakunya kesalahan seperti yang dinyatakan Subkhiddin.
JDT yang ketika sudah mendahului 4-0 menamatkan permainan dengan tambahan dua gol menjadikan skor sebenar 6-0 selepas tamat permainan.
Kemenangan bergaya itu memastikan Harimau Selatan merekodkan lapan kemenangan berturut-turut yang menyaksikan mereka terus gah di persada carta Liga Super dengan 24 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram