PENANG FC akan berusaha mengekalkan momentum bagi meraih kemenangan dalam perlawanan akan datang selepas berjaya menewaskan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, di George Town, Pulau Pinang pada Ahad.
Penolong Ketua Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid berkata, beraksi pada bulan puasa bukanlah suatu perkara yang mudah kerana pemain memerlukan tenaga secukupnya untuk menentang pihak lawan.
"Nak dapatkan konsistensi bukan mudah tetapi saya dan pemain akan cuba sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas perlawanan pada Ahad.
Antara aksi perlawanan Harimau Kumbang menentang skuad The Cops pada Ahad. — Facebook/PenangFC
Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz berkata, kesilapan individu punca pasukannya tewas kepada pihak lawan.
"Pemain kita dibolosi pihak lawan. Apa pun, pemain kita sudah mencuba sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata, pasukan Sang Saka Biru perlu meningkatkan prestasi terutama di bahagian serangan bagi membolehkan mereka memenangi perlawanan seterusnya.
Selepas menewaskan PDRM FC 4-2 pada Ahad, skuad Harimau Kumbang berjaya melonjak dua tangga ke kedudukan kelapan Liga Super 2023 dan dijadualkan menentang Kelantan United FC pada 18 April ini di Stadium Bandaraya.
Sang Saka Biru yang berada di tangga ketujuh liga akan berhadapan dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang berada di tangga pertama pada 19 April di Stadium MBPJ. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram