Tomas Trucha 'direhatkan', legenda TRW, TFC diseru jadi pengganti


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

Trucha baru saja dilantik menjadi pengendali KUFC pada awal musim ini. — Facebook/KUFC

'PENYAKIT' berjangkit merehatkan ketua jurulatih kembali lagi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023 apabila Kelantan United FC (KUFC) didakwa menjadi pasukan kedua membuat tindakan berkenaan terhadap pengendalinya, Tomas Trucha.

Dakwaan berkenaan hadir selepas kelibatnya tidak kelihatan dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan Kijang Hijau seri 1-1 ketika menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Rabu.

Namun begitu, masih tiada sebarang pengumuman rasmi daripada kelab berpangkalan di Pantai Timur itu namun melihat kepada prestasi semasa Kelantan United yang berada pada kedudukan tercorot liga, ia dilihat wajar untuk pihak pengurusan berbuat demikian terhadap Trucha.

Berdasarkan statistik, skuad kendalian pengendali dari Republik Czech itu masih gagal meraih tiga mata dan hanya merekodkan lima kekalahan serta dua seri selepas mengharungi tujuh aksi liga.

Jika benar dakwaan berkenaan, Trucha adalah jurulatih kedua yang direhatkan musim ini selepas Kelantan FC turut merehatkan Choi Moon-sik pada Rabu susulan masalah prestasi pasukan The Red Warriors (TRW) musim ini.

Kejadian itu juga merupakan pengalaman kedua Trucha apabila pada awal musim lalu Penang FC membuat keputusan untuk menyingkirkannya ekoran prestasi kurang memuaskan dań digantikan dengan Datuk Zainal Abidin Hassan.

Selepas dakwaan 'penyingkiran' pengendali berusia 51 tahun itu, penyokong skaud Kijang Hijau mula mencadangkan beberapa nama untuk menggantikan posisinya dan salah satu daripadanya ialah George Boateng.

boeteng

Boateng ketika bersama pasukan Ghana ketika Piala Dunia 2022 Qatar.

Legenda Terengganu FC itu pernah beraksi sebagai pemain tengah bertahan di pasukan berkenaan pada 2012-2013, selain pernah memulakan karier kejurulatihannya pada 2014 bersama pasukan Kelantan FA.

Selain daripada itu, Boateng juga semakin melebarkan sayapnya apabila memulakan karier sebagai penolong jurulatih baharu pasukan kebangsaan Ghana pada Mei 2022 di samping ketua jurulatih, Otto Addo.

Bersama Otto, Boateng berpengalaman membimbing skuad kebangsaan mereka untuk layak ke Piala Dunia keempat negara mereka iaitu ketika Piala Dunia 2022 Qatar.

Dengan pengalaman berharga itu, pengendali berusia 47 tahun itu jelas merupakan pengendali ideal untuk meletakkan KUFC di landasan yang benar dan membantu memperoleh tiga mata berharga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram