Menang tapi bukan perlawanan menarik, Nafuzi mahu Sang Kenari tambah baik corak permainan


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

Sebagai penyerang, Lira perlu menambahkan lagi jaringannya bagi membantu pasukan meraih mata berharga. — Facebook/ KDA FC

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd Nafuzi Mohd Zain berharap anak buahnya dapat bermain dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya bertemu Johor Darul Takzim (JDT), sekali gus mengutip mata untuk kekal berada dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini.

Beliau berkata, walaupun berada di kedudukan kedua liga ketika ini, namun dengan corak permainan ditampilkan ketika bertemu Penang FC di Stadium Darul Aman, pada Rabu, ia belum cukup untuk memberi kelebihan kepada pasukan itu.

"Harap prestasi macam ini adalah terakhir kita tengok, kita bernasib baik sebab tak bolos... pemain banyak statik, tidak bergerak, kurang bagi tekanan dan banyak memberi ruang sehingga Penang FC selesa.

"Bagi saya penting kita menang dan meraih tiga mata, tetapi malam ini bukan perlawanan yang menarik untuk tengok.

"Tetapi bola sepak macam itulah, dari segi kelemahan, kita boleh tingkatkan lagi dan berharap kemenangan ini menjadi pembakar semangat buat pemain,” katanya.

Mohd Nafuzi berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan KDA FC dengan Penang FC itu yang menyaksikan KDA FC menewaskan Penang FC 1-0.

Gol dijaringkan Willian Lira Sousa pada minit ke-64 hasil sepakan leret sehingga menewaskan penjaga gol Penang FC, Muhammad Azfar Arif Mohd Shukri.

Dalam pada itu, Mohd Nafuzi percaya dengan keupayaan Lira meskipun ada yang berpendapat pemain itu masih tidak konsisten dalam posisinya sebagai penyerang.

"Sebenarnya Lira dah enam gol, saya rasa bukanlah teruk sangat, tetapi sebagai penyerang kita tahu perlu lagi jaringan, jadi bagi saya sama ada pemain import, pemain muda atau senior, saya percayakan pemain saya, saya tak cepat menghukum pemain sebab saya tahu kemampuan pemain saya.

"Untuk Lira kita perlukan pemain sekeliling dia untuk buat hantaran, buka ruang untuk dia, kalau kita tengok dia pun tak dapat banyak peluang terbuka untuk menjaringkan gol. Saya selalu memberi motivasi kepada dia dan saya percaya malam ini titik permulaan bagi dia untuk perlawanan seterusnya,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram