Kalah menang biasa, jawablah dengan 'gentleman' — Zainal Abidin


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

Reaksi negatif Teong Kim mengundang kecaman daripada penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/PerakFC

PENGENDALI Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang dilabel tidak profesional selepas memberikan reaksi seperti acuh tak acuh ketika menjawab soalan daripada wartawan sememangnya menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air pada Rabu.

Dari penyokong Perak FC sehingga ke Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab berkenaan, Bobie Farid Shamsudin, semuanya seperti sepakat tidak berkenan dengan sikap yang ditunjukkan Teong Kim ketika temu bual selepas perlawanan skuad Seladang tewas 0-5 di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

Tewas di laman sendiri, Stadium Ipoh tersebut merupakan kekalahan ketiga berturut-turut yang dicatat pasukan The Bos Gaurus (TBG) selepas tumpas 3-1 kepada Penang FC dan 0-3 di tangan Sri Pahang.

JDT PERAK

Antara aksi skuad Seladang ketika menentang JDT pada Rabu lalu. — Facebook/PerakFC

Rentetan kejadian tersebut, pemerhati sukan, Zainal Abidin Rawop juga tidak ketinggalan untuk menegur Teong Kim dan menasihatinya agar lebih bersikap terbuka selepas ini bagi menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pengendali profesional.

Menurut pengulas sukan tersohor negara itu, soalan yang diajukan oleh wartawan berkenaan adalah mudah untuk dijawab namun Teong Kim gagal mengawal emosi sehingga memberi jawapan sedemikian rupa.

"Soalan wartawan itu mudah dan Teong Kim boleh bagi jawapan yang mencerminkan dia sebagai coach yang profesional. Patut lebih tenang. Kita tahu dia akan kalah teruk tapi cara jawapannya menambah kekecewaaan yang tidak berasas.

"Saya amat menyokong kenyataan Presiden SAM (Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia), yang mempertikaikan jawapan Teong Kim. Kita di media memang sepakat. Kita cuma harap dia dapat jawab dengan tenang.

"Kalah menang biasa, jawab dengan gentleman. Jadi pihak lain faham kesukaran yang dia hadapi. K.Devan kalah 7-0 (Negeri Sembilan 0-7 JDT) masih boleh jawab soalan baik. Datuk Ong Kim Swee kalah 4-0 (Sabah FC 0-4 JDT) masih boleh jawab dengan baik," katanya.

NSFC JDT

JDT juga menang besar ke atas skuad Jang pada Mac lalu. — Facebook/NSFC

Sebelum ini, Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata, media berperanan untuk menyampaikan maklumat dan tidak seharusnya menerima layanan seperti diberikan bekas Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu.

Tambah Zainal Abidin, sekalipun Teong Kim kecewa dengan pretasi pasukannya, beliau sepatutnya memberi tumpuan untuk memperbaiki mutu permainan anak-anak buahnya dan tampil memberikan persembahan lebih berkualiti dalam perlawanan seterusnya.

"Dia dah tahu Perak dalam keadaan pasukan yang tidak lengkap tapi dia bersetuju untuk galas tanggungjawab jadi ketua jurulatih. Jadi ini adalah harganya. dia kena bersabar dan tidak perlu meluahkan kekecewaanya kepada media yang bertanya.

"Teong Kim kena buktikan kredibilitinya untuk latih pasukan senior dengan menghasilkan sebuah pasukan yang memuaskan. Kalau tak orang anggap dia sesuai jadi coach remaja saja.

PERAK FC

Perak FC rata-ratanya dibarisi oleh pemain muda. — Facebook/PerakFC

Pihak media sebelum ini alu-alukan kepulangan semulanya dalam media tempatan tapi kalau begini, orang hanya boikot dia," tambahnya.

Selain daripada itu, Zainal Abidin juga menasihatkan agar pengurusan Perak FC membawa masuk beberapa pemain senior pada jendela perpindahan kedua nanti bagi mengelak daripada skuad Seladang hanya menjadi pelengkap jadual sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram