PENGENDALI Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak bimbang kerana bakal berdepan dengan situasi yang agak mencabar menjelang pertembungan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Rabu.
Skuad Warga Kota berdepan dengan krisis kecederaan dengan enam tonggak utama bergelut untuk pulih dalam tempoh singkat sebelum turun bertemu lawan yang menghuni tangga kedua liga itu ketika ini.
Antara pemain mereka yang mengalami masalah kecederaan ialah Matko Zirdum, Akram Mahinan, Kevin Mendoza, Zhafri Yahya, J. Partiban dan Haqimi Azim Rosli.
Walaupun begitu, Hodak belum mahu menekan butang panik dan tidak bercadang untuk menukar pelan permainan mereka.
“Kami akan bermain di tempat sendiri, jadi saya tidak akan mengubah rancangan atau corak permainan kami hanya kerana enam pemain cedera.
“Sebaliknya, kami akan bermain dengan cara menyerang dan bertahan untuk memburu gol," katanya.
Jurulatih skuad Warga Kota, Bojan Hodak. — Facebook/KualaLumpurCity
Tambah jurulatih Croatia itu lagi, dia mengakui bukan mudah untuk berdepan dengan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.
“Saya sedar bukan mudah menentang Sabah yang mempunyai skuad mantap dengan bajet besar yang besar musim ini.
“Kami akan bermula dengan kekuatan yang kami ada, dan jika kami terpaksa mempertaruhkan pemain muda, ini adalah peluang untuk mereka membuktikan kemampuan mereka,’’ katanya.
KL City wajib memburu kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga kerana pasukan itu berada di tangga ke-12 Liga Super dengan tiga mata daripada lima aksi setakat ini.
Malah, pasukan itu juga masih belum mencatat sebarang kemenangan musim ini dengan hanya meraih tiga keputusan seri dan tewas dua kali.
Sabah kini berada di tangga keempat liga, terikat 13 mata dengan Kedah yang di kedudukan ketiga, hanya dipisahkan perbezaan jaringan gol. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram