Zidane, Enrique 'berebut' ganti Potter di Chelsea


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Enrique (kiri) dan Zidane (kanan) dikaitkan bakal menggantikan pengendali Chelsea, Graham Potter. — Agensi

LUIS Enrique dan Zinedine Zidane antara calon utama yang bakal menggantikan pengendali Chelsea sekiranya Graham Potter dipecat.

Potter menerima tekanan hebat di Stamford Bridge selepas deretan keputusan hambar yang menyaksikan Chelsea hanya menang sekali dalam 11 perlawanan terakhir, dan hanya menjaringkan enam gol dalam enam perlawanan terakhir, selepas berbelanja besar pada Januari.

Walaupun menerima sokongan padu pemilik, Todd Boehly sehingga saat ini, dipercayai dua perlawanan berikutnya menentang Leeds dan Borussia Dortmund akan menjadi penentu masa depan bekas Ketua Jurulatih Brighton itu, yang hanya menang sembilan kali dalam 26 perlawanan.

Jika gagal merakam sebarang kemenangan pada aksi hujung minggu ini dan Selasa depan, Boehly mungkin terpaksa menukar pengendali sekali lagi selepas hanya lima bulan berpisah dengan Thomas Tuchel.

Media Inggeris melaporkan yang Enrique dan Zidane antara calon utama menggantikan Potter di Stamford Bridge.

Enrique tidak terikat dengan mana-mana pasukan sejak meletakkan jawatan sebagai pengendali Sepanyol susulan kekalahan di tangan Maghribi pada aksi 16 terakhir Piala Dunia tahun lalu.

Pengendali 52 tahun itu menikmati kejayaan di peringkat kelab bersama Barcelona, merangkul dua gelaran La Liga, satu Liga Juara-Juara Eropah dan tiga Piala Raja Sepanyol.

Zidane juga tidak bersama mana-mana pasukan selepas melepaskan jawatan sebagai pengendali Real Marid buat kali kedua pada Mei 2021.

Sepanjang bersama Real Madrid, legenda Perancis dan Los Blancos itu meraih tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah dan dua La Liga.

Kedua-dua pengendali itu turut dikaitkan dengan jawatan pengendali pasukan kebangsaan Brazil, namun Enrique terkeluar daripada senarai minggu ini dan semakin kuat spekulasi untuk ke Chelsea. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram