Yaman, Kepulauan Solomon lawan terbaharu anak buah Kim Pan-gon


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Pemain-pemain Kepulauan Solomon. — Facebook/Solomon Islands Football Federation

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mula mengorak langkah baru untuk persiapan skuad kebangsaan menjelang kejohanan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Januari tahun depan.

Sebelum ini skuad kebangsaan berjaya mendapat keputusan positif apabila menang dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Johor baru-baru ini.

Keyakinan skuad kebangsaan Malaysia berada pada tahap tinggi selepas berjaya membenam dua pasukan itu dan sebagai aturan untuk perlawanan antarabangsa seterusnya pada Jun FAM memilih Yaman dan Kepulauan Solomon sebagai lawan terbaru anak-anak buah Kim Pan-gon.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang mana perlawanan menentang dua pasukan itu bakal berlangsung di Malaysia tetapi belum muktamad mengenai lokasi yang bakal digunakan.

Kedudukan Harimau Malaya dalam ranking dunia FIFA dijangka terus melonjak selepas mencatat keputusan positif dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Turkmenistan dan Hong Kong.

Skuad semasa kebangsaan Kepulauan Solomon. Facebook/Solomon Islands Football Federation

Kemenangan 1-0 terhadap Turkmenistan memberikan Malaysia tambahan mata sebanyak 5.27 manakala kemenangan 2-0 terhadap Hong Kong pula memberikan Malaysia tambahan mata sebanyak 4.85.

Mata keseluruhan yang berjaya dikutip sepanjang bulan Mac ini adalah sebanyak 10.12 sekali gus memberikan Malaysia mata sebanyak 1082.13 (tidak rasmi).

Perkiraan itu dimuat naik oleh @FootyRankings di Twitter dengan menyaksikan beberapa negara turut mendapat kenaikan ranking.

Namun apa yang paling mengejutkan adalah jangkaan ranking Malaysia ialah lebih tinggi berbanding 139 dunia iaitu 138 dunia.

Bagaimanapun pengumuman rasmi oleh FIFA hanya akan dikeluarkan pada bulan April ini selepas selesai semua perlawanan dalam kalender antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram