MUSIM 2023 Liga Super menyaksikan beberapa pasukan membawa masuk beberapa pemain baharu ke dalam pasukan masing-masing dan ia termasuklah juara bertahan sembilan kali Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).
Skuad Harimau Selatan membawa masuk penjaga gol baharu iaitu Syihan Hazmi dari Negeri Sembilan FC bagi memberikan saingan sihat kepada penjaga gol berpengalaman JDT, Farizal Marlias dalam mengejar posisi nombor satu pasukan itu.
Berdasarkan lima aksi awal Liga Super musim ini, Syihan diturunkan dalam kesebelasan utama JDT sekali gus menyaksikan Farizal yang sudah berumur 36 tahun diletakkan sebagai penjaga gol simpanan.
Syihan mampu memenangi bola di udara dengan ketinggian yang dimilikinya. — Facebook
Sepanjang beraksi dalam tempoh berkenaan, Syihan memberi persembahan cemerlang apabila hanya bolos sekali sahaja dalam lima perlawanan, di mana jaringan yang membolosi Syihan adalah sepakan penalti ketika perlawanan menentang Kelantan FC.
Bekas penyerang kebangsaan dan JDT, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Matyo berkongsi pengalamannya ketika ke kem skuad kebangsaan bersama-sama dengan Syihan dan Farizal.
Matyo berasakan kedua-dua penjaga gol JDT itu tidak memiliki begitu banyak perbezaan namun menurutnya, Syihan mempunyai sedikit kelebihan dari segi saiz dan fizikal.
“Saya pernah berada di dalam skuad kebangsaan kendalian coach Kim (Pan-gon). Pada ketika itu Syihan ada, Farizal pun ada. Saya lihat Syihan dan Farizal ini tiada perbezaan cuma saiz dan fizikal, Syihan ada kelebihan.
Farizal mengekalkan kecergasan meskipun kurang beraksi dalam kesebelasan utama JDT setakat ini. — Facebook
"Berdasarkan analisis jurulatih terhadap kebanyakan gol yang dibolosi yang dijaringkan oleh pihak lawan adalah bola-bola yang tinggi.
"Prestasi (Syihan) sama dengan Farizal cuma kelebihan fizikal yang buatkan Syihan jadi penjaga gol utama di JDT,” jelas Matyo ketika tampil sebagai panelis Astro Arena bagi mengulas perlawanan Malaysia menentang Hong Kong pada Selasa.
Jika melihat prestasi semasa Syihan, pemain berusia 27 tahun itu dijangka akan terus digunakan sebagai penjaga gol utama di JDT dan juga skuad kebangsaan pada masa depan. Apatah lagi Syihan baru sahaja melalui dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong tanpa dibolosi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram