TONGGAK Harimau Malaya, Akhyar Rashid berpeluang meledak dua gol ketika tampil dalam pasukan kebangsaan menerusi aksi persahabatan menentang Hong Kong dan Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor baru-baru ini.
Bintang Johor Darul Takzim (JDT) antara penjaring ketika Malaysia mencipta kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong selain turut menyumbang gol kemenangan Harimau Malaya ketika menjinakkan Turkmenistan 1-0, pada Khamis lalu.
Akhyar yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama kelabnya, Johor Darul Takzim (JDT) menyatakan rasa puas selepas berjaya meledak dua gol dalam perlawanan tersebut.
Kecergasan dan latihan yang berintensiti tinggi di JDT antara lain membantu pemain berusia 24 tahun itu mendapat rentak yang cukup baik dalam persembahannya sepanjang di kem Harimau Malaysia.
Tangkap layar ciapan balas Akhyar. — Twitter
Dalam keseronokan yang dikecapi pemain itu, dia berkongsi rasa sedih terhadap nasib rakan sepasukannya di JDT.
Ini selepas Akhyar membuat ciapan balas emoji sedih pada satu hantaran mengenai pemain JDT II, Muhammad Daniel Amier Norhisham.
Terdahulu, akaun @onefootball.my menerusi satu hantaran di Twitter berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai ramai jeneral tengah yang lebih baik daripada pemain naturalisasi tetapi namanya kini hilang dari radar peminat bola sepak Malaysia.
"Pemain itu adalah Daniel Amier Norhisham. Hantaran bola jauh tepat, hantaran pendek tepat. Tenang 100 peratus namun faktor kurang minit permainan," katanya.
Daniel Amier pernah menyarung jersi Harimau Muda ketika beraksi untuk skuad B-19 dan B-23.
Hantaran tersebut yang mendapat reaksi daripada Akhyar dan dia membuat ciapan balas ringkas emoji sedih.
Di JDT, kelab tersebut mempunyai kumpulan pemain-pemain berkualiti kerana mahu mereka sentiasa berusaha menjadi terbaik dan mengatasi tahap semasa pemain.
"Kelab JDT adalah kelab berprestasi tinggi di mana ‘survival of the fittest’ (keperluan untuk menjadi yang paling cergas) adalah mustahak. Tiada ruang untuk kelekaan," kata kelab itu dalam satu hantaran sebelum ini.
Seorang pengguna Twitter, @jeanmagistax berkata, JDT ada tiga core midfielder (pemain tengah) iaitu Leandro Velazquez, Natxo Insa dan Afiq Fazail. Aku percaya Daniel Amier dibawa masuk untuk bagi saingan kepada Afiq, namun tidak berhasil. Daniel Amier kena bersaing dengan Nazmi Faiz juga.
Daniel Amier ketika beraksi dengan Felda United.
"Puncanya ialah dia tidak mampu bersaing, Hong Wan yang masuk lebih kurang dengan dia pun boleh bagi saingan dekat Natxo," katanya.
Daniel Amier merupakan produk akademi Frenz United dan pernah berkhidmat dengan kelab Felda United dari 2017 hingga 2020.
Pemain berusia 26 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu secara rasmi menjadi ahli keluarga JDT pada Disember 2020.
Dia beraksi di posisi tengah untuk skuad JDT II yang beraksi di Liga Perdana musim lalu.
Berdasarkan transfermarkt.com, Daniel Amier hanya memperoleh 106 minit permainan dengan satu gol menerusi empat penampilan sepanjang musim 2022.
Daniel Amier juga pernah menyarung jersi Harimau Muda ketika beraksi untuk skuad bawah 19 tahun (B-19) pada 2015 dan skuad negara bawah 23 tahun (B-23) pada 2017 hingga 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram