Degil, tak respons tunggakan gaji, PFAM heret kes MUFC, SUFC ke NDRC


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Izham menegaskan bahawa tindakan membawa kes itu ke NDRC adalah satu tindakan undang-undang di peringkat awal.

MESKIPUN sudah beberapa bulan liga baharu membuka tirai, pelbagai tanda tanya masih diajukan kepada dua bekas kelab Liga Super iaitu Melaka United dan Sarawak United.

Kedua-dua kelab itu sebelum ini bergelut dengan masalah kewangan dan pengurusan sehingga menyaksikan hampir kesemua pihak, termasuk staf kejurulatihan tidak menerima bayaran gaji.

Lebih menyedihkan lagi, segelintir pemain berkongsi pengalaman yang terpaksa mereka hadapi dengan ada yang sanggup menjual harta masing-masing demi kelangsungan hidup.

Jadi, dalam usaha menyelesaikan perkara itu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) tampil untuk membela kebajikan pemain kedua-dua pasukan.

Usaha persatuan itu sememangnya sudah dapat disaksikan sejak pertengahan 2022 lagi dengan mereka sering mengeluarkan peringatan buat Melaka United dan Sarawak United.

Namun, dengan tiada penyelesaian setakat ini, PFAM sekali lagi tampil dengan pendekatan lebih tegas bagi memastikan isu berkenaan tidak lagi berulang.

Untitled design - 1

Nama Melaka United dan Sarawak United masih meniti di bibir penyokong bola sepak tanah air.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail menegaskan pihaknya akan membawa kes itu ke Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC).

Katanya, tindakan itu dibuat selepas kedua-dua kelab itu masih gagal menyelesaikan pembayaran tertunggak walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak tahun lepas.

"Ya, membawa kes ini ke NDRC adalah tindakan undang-undang di bawah ruang lingkup undang undang sukan bola sepak kerana NDRC ialah instrumen yang diwujudkan untuk berhadapan dengan isu yang dihadapi oleh pemain dan kelab berkenaan dengan kontrak," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya lagi, notis juga sudah diberikan beberapa kali dengan skuad Hang Tuah difahamkan menerimanya pada pertengahan 2023 sehingga awal tahun ini.

"Melaka United tidak memberikan maklum balas bagi notis-notis tersebut.

"Dalam masa yang sama, NDRC pernah mengeluarkan keputusan sebelum ini supaya MUFC membayar tunggakan bagi bulan Julai pada ketika itu tetapi tiada kerjasama yang diberikan mereka untuk melunaskan bayaran sehingga kini," katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan Melaka United mempunyai tunggakan gaji melebihi RM1 juta dengan ada pemain mendedahkan bahawa mereka tidak menerima bayaran sehingga enam bulan.

Bagi Sarawak United pula, amaun yang dikeluarkan mendapati kelab berkenaan berhutang kurang daripada RM500,000 kepada pemain dan pihak kejurulatihan.

siakap-keli-article-cover-1667295212-740x385

Penyertaan Melaka United dan Sarawak United untuk menyertai Liga Super 2023 ditolak. MFL

Ini termasuk pendedahan daripada bekas pengendali, B Sathianathan yang mengatakan tiada pembayaran diterima untuk tempoh lima bulan.

"Pihak Sarawak United ada beberapa kali memberikan maklum balas untuk melunaskan bayaran seperti yang dituntut tetapi sehingga kini masih belum berjaya melakukannya.

"Terbaru, mereka memaklumkan ingin melunaskan bayaran pada bulan Mac 2023, namun sehingga ke hari ini pemain masih belum menerima bayaran yang dituntut," katanya.

Kemelut itu turut menyebabkan Melaka United dan Sarawak United 'disingkir' daripada divisyen teratas bola sepak tanah air selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) enggan meluluskan permohonan mereka untuk lesen kebangsaan.

Kedua-dua pasukan itu ketika ini sedang beraksi dalam Liga M3 yang diuruskan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) dengan keputusan terbabit turut dipertikaikan ramai pihak.

Lebih menarik lagi, Melaka United ketika ini berwajah baharu dengan logo berbeza selain tampil sebagai Melaka FC bagi menegaskan mereka bukanlah berada di bawah pengurusan terdahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram