Irfan Bakti: Rajuk, makan hati, tangan ghaib


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Irfan Bakti mendedahkan kenapa dia gemar memakai baju berwarna merah jambu. — Facebook/Kuching City

'LAPTOP Cabuk' menemui pembaca buat kali ketujuh. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

JANGAN betulkan televisyen anda. Jika terlihat seorang jurulatih veteran berbaju merah jambu yang tidak lagi mengunyah gula-gula getah di tempat duduk pasukan di tepi padang, itu bukanlah orang lain.

Irfan Bakti Abu Salim tampil lagi buat musim ketiga bersama Kuching City FC – tahun ke-23 baginya dalam Liga Malaysia -- barangkali dengan penampilan yang cuma sedikit berbeza.

Merokok di tempat duduk jurulatih sudah lama dihindarkannya sejak larangan yang dikuatkuasakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2005.

“Saya pernah didenda RM1,500 kerana nasib tak baik apabila tertangkap kamera siaran langsung televisyen mencuri-curi merokok, itu pun dua ‘pam’ saja.

“Bila dihadapkan ke lembaga disiplin, saya mengaku salah saja dan dikenakan denda. Sejak itu, saya tak lagi merokok dan gantikan dengan mengunyah ‘chewing gum’,” ceritanya kepada Laptop Cabuk.

Kuching City

Irfan Bakti membimbing Kuching City buat musim ketiga. Facebook/Kuching City

Banyak yang dikongsikan jurulatih berusia 72 tahun itu mengenai perjalanan panjangnya sejak kali pertama menduduki kerusi ketua jurulatih Negeri Sembilan pada musim 1999.

Dalam musim sulungnya itu, skuad Jang menduduki tangga ketiga liga di samping mara sejauh separuh akhir Piala Malaysia – seolah-olah satu pengumuman Irfan Bakti sudah tiba dalam kancah bola sepak Malaysia.

Lama sesudah itu, rajuk hatinya kerana berasa dipermainkan, kekecewaan yang tidak tertanggung olehnya di samping gangguan ‘tangan-tangan ajaib’ dianggapnya sudah menjadi asam-garam, yang bagaimanapun lebih membuat seorang jurulatih tua sepertinya makan hati.

“Ini adalah tahun terakhir saya mengendalikan sebuah pasukan dalam Liga Super. Keputusan untuk bersara sebenarnya sudah saya tangguhkan beberapa kali.

“Musim ini adalah yang terakhir. Saya dah terlalu penat,” tambahnya di sebalik mengakui Claudio Ranieri yang seusia dengannya masih terus aktif melatih kelab Serie B, Cagliari, dalam Liga Itali.

Cuma, sayang sekali kejayaan memenangi Piala Malaysia atau Liga Super tidak akan tertulis dalam senarai pencapaian, yang diredainya sebagai rezeki yang sudah tertulis setakat itu.

Claudio Ranieri seusia Irfan Bakti iaitu 71 tahun. Agensi

Itu, bagaimanapun, tidak bermaksud Irfan Bakti mengharungi kerjaya kejurulatihan yang panjang dengan kejayaan sentiasa menjauhinya.

Sebelum pengenalan Liga Super pada 2004 lagi, dia lebih dahulu mengecap kejuaraan liga Divisyen Satu bersama Pulau Pinang pada 2001, disusuli kejayaan menjulang Piala FA pada tahun berikutnya.

Selepas beberapa tahun berselang yang menyaksikan jurulatih itu ketandusan gelaran ketika membimbing Telekom Melaka FC (2005-2006) dan Perlis (2008-2009), dia kembali bergelar juara tatkala menjulang Piala FA bersama Terengganu pada 2011.

“Kebanyakan pasukan yang saya latih juga sekurang-kurangnya pernah mengecap kedudukan naib juara,” jelasnya.

Ini terbukti ketika dia melatih Pulau Pinang (naib juara Piala FA 2000), Telekom Melaka (naib juara Liga Super 2006), Persipura FC (naib juara Liga Indonesia 2007), Perlis (naib juara Liga Super 2009), Selangor (naib juara Liga Super 2012) dan Felda United (naib juara Liga Super 2016).

“Tapi biasalah, tiada siapa yang ingat pasukan naib juara,” ujarnya.

Rajuk hatinya diawali pada 2007 apabila corak latihannya yang menyaksikan Telekom Melaka tampil naib juara liga setahun sebelum itu, dikritik mendiang Serbegeth Singh sebagai ketinggalan zaman.

Irfan Bakti Tahun Terakhir

Musim ini merupakan tahun terakhir Irfan sebagai ketua jurulatih. Facebook/Kuching City

Kebetulan, pada waktu itu, tawaran daripada Persipura FC yang berpangkalan di Jayapura, Papua datang bagaikan penawar. Dia membalas kepercayaan dengan mengangkat kelab itu menjuarai liga zon timur (14 pasukan) di samping muncul naib juara liga Indonesia secara keseluruhan.

Ini disusuli kekecewaannya ketika skuad juara Piala FA, Terengganu, bimbingannya bersiap-siap menghadapi final Piala Malaysia 2011, yang mereka tewas 1-2 kepada gol lewat Hairuddin Omar di Stadium Shah Alam pada tanggal 29 Oktober.

“Bayangkanlah jurulatih dan pemain masing-masing hanya diberikan dua tiket sedangkan itulah kemuncak untuk diraikan bersama keluarga,” kata Irfan, yang mempertahankan kekalahan mereka tiada kena-mengena dengan kontroversi itu.

Namun, apa yang lebih melukakan hatinya ialah rasa tidak dihargai oleh Felda United. Selepas mengemudi kelab itu dinaikkan ke Liga Super pada 2015 dan muncul naib juara musim berikutnya, ada ‘tangan-tangan ghaib’ mencampuri urusan untuk membawa masuk pasukan kejurulatihan baru.

Dia menerimanya sebagai isyarat untuk angkat kaki dan enggan menoleh ke belakang lagi.

Irfan Bakti Selangor

Irfan pernah membimbing pasukan Selangor pada 2012 hingga 2013.

Kemudian pada 2019, Irfan Bakti mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan apabila Terengganu kendaliannya yang mendahului PJ City 3-0 di Stadium Sultan Ismail, kesudahannya tewas 5-3.

Didorong oleh protes sekumpulan penyokong di luar stadium selepas perlawanan pada 14 Mei 2019 itu, dia menawarkan dirinya sebagai ‘korban’ di sebalik pihak pentadbiran berkali-kali merayunya agar tidak berbuat demikian.

Selain beberapa piala yang dimiliki, Irfan Bakti menagih sedikit pengiktirafan daripada kejayaan membawa empat pasukan dinaikkan ke Liga Super daripada Liga Perdana -- Telekom Melaka FC (2004), Felda United (2014), Terengganu (2017) dan Kuching City (2021).

“Pengalaman banyak mengajar saya.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana banyak yang saya dapat daripada bola sepak selama bertahun-tahun ini,” kata Irfan Bakti yang mendapat lesen kejurulatihan profesional akhir tahun lalu selepas kursus yang dihadirinya sejak 2019 beberapa kali tertangguh dek pandemik Covid-19.

Irfan gemar memakai baju kemeja berwarna merah jambu. Facebook/Kuching City

Apa istimewanya warna merah jambu kegemarannya?

“Tak ada rahsia apa. Cuma jurulatih tidak dibenarkan berbaju warna yang sama dengan mana-mana pasukan yang beraksi. Jika tidak, perlu pakai ‘bib’. Jadi, saya pilih warna merah jambu kerana tak ada pasukan yang guna jersi warna itu,” jelasnya.

Irfan Bakti, yang boleh menguasai sekurang-kurangnya lima loghat -- Sarawak, Utara, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan – sepanjang penjelajahannya dalam bola sepak, turut enggan mengunyah gula-gula getah lagi ketika perlawanan mulai musim ini.

“Kandungan gula ‘chewing gum’ ni tinggi,” ujarnya.

Buat seorang jurulatih berkarisma sepertinya, Liga Malaysia pasti akan merindui kelibat dan gelagatnya musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram