PEMAIN skuad bola sepak antarabangsa Peru dan polis Sepanyol terlibat dalam insiden kekecohan di sebuah hotel di Madrid, Sepanyol pada Isnin, berdasarkan satu rakaman video tular di media sosial.
Pasukan bola sepak Peru berada di Sepanyol untuk perlawanan persahabatan, yang mana skuad tersebut tewas 0-2 kepada Jerman dalam aksi pertama dan bakal bertemu dengan pasukan Maghribi pada Rabu.
Pertengkaran tersebut dipercayai tercetus akibat salah faham ketika ratusan peminat yang berkumpul di luar hotel pasukan bagi menyambut para pemain untuk menyerahkan bendera negara sebagai tanda sokongan.
“Kami mahu menyambut para pemain tetapi (polis) mula memukul kami,” dakwa penjaga gol Peru, Pedro Gallese kepada TV Peru.
Dalam video yang dikongsi secara meluas di media sosial, pemain tengah Yoshimar Yotun boleh dilihat bertengkar dengan seorang anggota polis yang kemudian menolaknya. Pemain lain dan polis kemudian terlibat.
Polis turut menolak penyerang Alex Valera ketika dia sedang mengangkat bendera, menurut salah satu video. Reuters tidak dapat mengesahkan rakaman itu buat masa ini.
Berdasarkan perkongsian di laman sosial, kekecohan itu terjadi selepas pemain-pemain Peru disalah anggap sebagai penyokong apabila mereka melayani peminat di luar pekarangan hotel berkenaan.
"Polis menyangkakan Yoshimar Yotun sebagai salah seorang penyokong dan mahu menjauhkannya daripada mendekati pemain lain," lapor La Republica.
Buat masa ini, masih tiada kenyataan rasmi daripada Polis Perbandaran Madrid mahupun Persekutuan Bola Sepak Peru. Media Peru melaporkan bahawa keadaan kekecohan itu berlarutan beberapa minit dan dapat dikawal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram