Hadi Fayyadh tidak keseorangan, ini 3 lagi bintang bergelut selepas pulang ke tanah air


  • Podium
  • Selasa, 28 Mac 2023

Hadi Fayyadh hanya merekodkan satu hantaran bantuan dan masih buntu mencetak gol bersama Perak FC. — Facebook/PerakFC

PENYERANG muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang akhirnya kembali beraksi di kancah liga tempatan dengan menyertai negeri kelahirannya, Perak FC bagi menghadapi kempen Liga Super 2023 menjadi antara detik ditunggu-tunggu penyokong.

Ketika berita penghijrahannya ke skuad The Bos Gaurus (TBG) pada Januari lalu, ramai penyokong bola sepak tanah air tidak sabar untuk melihat aksinya selepas dia berkelana di Liga Jepun (J-League) selama tiga musim sejak 2019.

Bekas penyerang pasukan Azul Claro Numazu dalam divisyen tiga J-League, itu mengikat kontrak selama dua tahun dengan pilihan setahun bersama Perak FC.

WhatsApp Image 2023-03-27 at 23.46.58

Hadi Fayyadh berkelana selama empat tahun di Jepun. — Instagram/Hadi

Namun begitu, selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super bersama Perak FC, Hadi Fayyadh masih belum menemui sentuhan jaringannya sehingga ada penyokong mulai mempersoalkan peranannya dalam skuad TBG.

Hadi Fayyadh bagaimanapun tidak keseorangan kerana terdapat tiga pemain tanah air yang bergelut untuk menyesuaikan diri dan mengembalikan semula potensi mereka selepas berkelana di luar negara.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang turut pernah mengalami situasi seperti penyerang Perak FC itu;

1) Safawi Rasid

safawi

Safawi hanya bertahan selama tiga bulan bersama Portimonense SC. — Agensi

Sebelum berkelana di Liga Thailand bersama Ratchaburi F.C, pemain sayap lincah itu pernah menarik minat Liga Utama Portugal, Portimonense SC untuk menandatanganinya secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) pada musim 2020.

Namun, Safawi tidak menghabiskan tempoh pinjaman selama semusim bersama Portimonense SC yang mana dia hanya bertahan selama tiga bulan sebelum kembali ke Malaysia untuk mencari semula prestasi terbaiknya bersama JDT.

Sejak kembalinya pemain berusia 26 tahun itu ke tanah air, Safawi seperti hilang sentuhannya untuk mencetak jaringan yang mana dia hanya merekodkan dua gol pada musim 2021.

Jika dibandingkan pada musim 2019/2020, Safawi mencetak enam jaringan gol dan membuat 20 bantuan jaringan buat skuad Harimau Selatan.

2) Nazmi Faiz

WhatsApp Image 2023-03-27 at 23.46.42

Nazmi menyertai PKNS FC selepas pulang daripada Portugal. — Instagram/Nazmi

Tonggak tengah Harimau Selatan, Nazmi Faiz pernah mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila beraksi bersama kelab Portugal, S.C Beira Mar ketika berusia 17 tahun.

Pada awalnya, bekas pemain Selangor FC itu mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal itu pada 2012 namun pada 2013, Nazmi kembali ke tanah air dengan menyertai PKNS FC.

Difahamkan, Nazmi pulang awal ke tanah air untuk menyertai PKNS FC apabila mendakwa berdepan masalah dengan kelab S.C Beira-Mar.

Bukan hanya bergelut dan tidak dapat membuat penampilan bersama skuad utama S.C Beira Mar, Nazmi juga diilhat susah untuk mencari rentak sebaik sahaja kembali ke Malaysia.

Selepas semusim, Nazmi mulai menemui rentas bersama PKNS FC dan berhasil tampil dalam 30 perlawanan pada 2014 dan juga menyumbang sembilan jaringan gol buat pasukan tersebut.

3) Wan Zack Haikal

WhatsApp Image 2023-03-27 at 23.46.50

Wan Zack ditawarkan kontrak selama dua tahun bersama kelab berpangkalan di Jepun itu. — Instagram/WanZack

Pada Mac 2013, Wan Zack Haikal menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab FC Ryukyu, yang beraksi di liga divisyen ketiga di Jepun namun jodohnya bersama pasukan itu tidak bertahan lama.

Pemain Perak FC itu menamatkan kontraknya lebih awal meskipun mempunyai baki kontrak setahun dan memutuskan untuk menyertai Kelantan.

Wan Zack mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal selepas dilanda kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) di peha kanannya di pertengahan musim.

Sejak pulang dari negara matahari terabit itu, Wan Zack hanya mengumpul 28 penampilan Liga Super bersama Selangor FC, Felda United dan Perak FC dengan dia turut berpeluang beraksi bersama skuad TBG musim lepas di Liga Perdana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram