WALAUPUN digugurkan daripada senarai 27 pemain Harimau Malaya bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Safawi Rasid sama sekali tidak berkecil hati dengan skuad kebangsaan.
Sebelum ini, FAM mengumumkan bahawa pemain sayap lincah itu hanya dimasukkan dalam Senarai Bersedia dan keciciran nama Safawi mengejutkan ramai penyokong bola sepak tempatan.
Memetik laporan daripada Stadium Astro, pemain yang kini beraksi di Liga Thailand, Ratchaburi FC itu akui akan lebih berusaha mendapatkan sentuhan terbaiknya di negara jiran itu.
Safawi sudah mencetak gol sulungnya bersama Ratchaburi FC. — Instagram/Safawi
Bukan itu sahaja, pemain kelahiran Terengganu itu juga gembira melihat peningkatan permainan rakan seperjuangannya, selain memuji layanan isimewa yang diberi Johor Darul Takzim (JDT) sepanjang kem latihan pusat di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
“"Saya rasa amat gembira kerana TMJ (Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) menyediakan stadium dan fasiliti terbaik untuk meningkatkan semangat pemain kita untuk beraksi lebih baik.
"Sewaktu menentang Turkmenistan, bagi saya kita telah beraksi baik kerana permukaan padang yang baik, jadi saya gembira melihat mereka bermain.
"Saya rasa bukan rezeki saya untuk menerima panggilan kali ini tetapi saya tetap gembira kerana kita memperoleh keputusan yang positif dan ia akan diteruskan," katanya.
Sebelum ini, bekas pemain T-Team itu pernah memuat naik ucapan ‘Selamat Maju Jaya’ di laman Insta Story miliknya ketika perlawanan Malaysia menentang Turkmenistan pada 23 Mac lalu.
Skuad negara meraih kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan dalam perlawanan persahabatan itu menerusi jaringan dari tonggak JDT, Akhyar Rashid.
Harimau Malaya seterusnya akan berdepan Hong Kong bagi satu lagi aksi persahabatan pada Selasa ini. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram