SKUAD Harimau Muda melakar kemenangan bersejarah ke atas pasukan B-22 Hong Kong dalam pentas akhir Piala Merlion 2023 pada Ahad.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura itu dilihat cukup menarik dengan anak-anak buah E Elavarasan beraksi cukup baik.
Meskipun terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, gol daripada Najmuddin Akmal dan Safwan Mazlan meletakkan pasukan negara di hadapan memasuki minit-minit terakhir permainan.
Namun, harapan untuk memastikan benteng pertahanan tidak dibolosi dikecewakan apabila penjaga gol skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Rahadiazli Rahalim melakukan kesilapan.
Peluang berkenaan tidak disia-siakan pemain lawan, Lau Ka Kiu yang menjaringkan gol pada minit ke-80, tetapi hasrat untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan tidak kesampaian.
Skuad B-22 kebangsaan melakar sejarah tersendiri selepas menewaskan Hong Kong 2-1. — Facebook/FAM
Kesilapan itu menyaksikan penjaga gawang Terengganu FC terbabit sekali lagi menjadi bahan bualan penyokong bola sepak tanah air di media sosial.
Ini adalah kerana ia bukan kali pertama Rahadiazli melakukan kesilapan apabila dia turut menjadi tumpuan ketika aksi separuh akhir menentang Kemboja Jumaat lalu.
Bagi sesetengah peminat setia Harimau Malaya, perkara itu berpunca daripada kesukarannya untuk mendapatkan minit permainan secara konsisten, baik di peringkat kelab mahupun negara.
Tetapi, ada juga yang menyifatkan pemain tinggi lampai tersebut sememangnya mudah melakukan kesilapan yang mana boleh merugikan pasukan pada masa akan datang.
Lebih merisaukan lagi, beberapa pandangan yang dilontarkan di media sosial mendesak agar barisan kejurulatihan Harimau Malaya B-22 bertindak tegas dengan menggugurkannya daripada kesebelasan utama.
Bagi mereka, slot itu lebih sesuai diisi penjaga gol berusia 21 tahun, Sikh Izhan Nazrel meskipun dia ketika ini sedang berlatih bersama skuad senior.
Adakah Sikh Izhan pengganti terbaik ketika Sukan SEA 2023 nanti? — Facebook/FAM
Antara yang menyuarakan perkara itu ialah penyokong bola sepak tempatan, Al Riz yang mahu menyaksikan pemain Negeri Sembilan FC itu beraksi ketika Sukan SEA 2023.
"Jika prestasi Terengganu masih goyah pada April, maka lebih baik guna penjaga gol Negeri Sembilan (Sikh Izhan) sebagai pilihan utama untuk Sukan SEA 2023," katanya.
Ia disokong raya-rata pengikut setia pasukan yang masih meletakkan kepercayaan di bahu Rahadiazli, namun berhasrat untuk melihat penggiliran dilakukan.
"Sebelum Rahadiazli buat silap, permainan pasukan negara sedang dalam momentum menguasai permainan dan menyerang dan ada rasa tambahan gol utk pasukan negara.
"Namun, kesilapannya membunuh keyakinan dan merosakkan momentum permainan sehingga tak semena-mena Hong Kong dapat keyakinan. Apapun tahniah utk mereka dan yang silap boleh diperbaiki selepas ini," kata Muse Razak.
"Betul, penjaga gol ini (Rahadiazli) banyak melakukan kesilapan yang tidak boleh diterima, lebih baik Sikh Izhan," kata A'dien Aman.
Dalam saingan Liga Super, Rahadiazli, yang juga dikenali sebagai Abe sudah diturunkan sebanyak tiga kali dengan dua daripadanya berakhir dengan 'clean sheets'.
Bagi Sikh Izhan pula, dia sebelum ini dikatakan sebagai pengganti kepada bekas penjaga gawang Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi yang berhijrah ke Johor Darul Takzim ketika jendela perpindahan yang lalu.
Dia bagaimanapun menjadi bahan bualan hangat ketika skuad Jang tewas 0-7 kepada JDT, namun pemain pinjaman dari Selangor FC itu kembali bangkit dan menjadi salah seorang prospek terhangat ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram