The Bos Gaurus ikut jejak JDT, Stadium Perak bakal ganti rumput Zeon Zoysia


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Stadium Perak ketika ini menggunakan rumput jenis cow grass dan sudah berusia 26 tahun iaitu sejak 1997. — Facebook/Perakfc

PERAK FC akan mendapat padang baharu apabila difahamkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menghantar surat kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan memohon peruntukan bagi penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Perak, Ipoh.

Berita mengenai naik taraf padang bola sepak di ‘rumah’ rasmi Perak FC itu diberitahu sendiri oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Memetik laporan Bernama, Rumaizi berkata, stadium itu ketika ini menggunakan rumput jenis cow grass dan sudah berusia 26 tahun iaitu sejak 1997.

"Kita dah hantar surat, dua hari sudah, surat itu daripada MBI kepada Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), harap-harap lulus. Kalau boleh kita nak ganti dulu, lepas itu penyelenggaraan kita akan buatlah,” katanya.

Bukan itu sahaja, Rumaizi juga memaklumkan bahawa pihak MBI akan melobi supaya perlawanan antarabangsa diadakan di Stadium Perak pada masa depan jika permohonan itu berjaya.

KBS sebelum ini menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang terpilih.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tawaran itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama Exco setiap negeri yang diadakan Januari lepas dan pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.

rumput

Padang SNBJ dijangka berwajah baru dengan rumput jenis Zeon Zoysia selewat-lewatnya Oktober 2023. — Facebook/JDT

Idea agar semua stadium digantikan dengan rumput yang lebih berkualiti seperti Zeon Zoysia dicadangkan sendiri oleh pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Cadangan yang dikemukakan menerusi ruangan komen Instagram itu mendapat balasan daripada Hannah dan beliau bersetuju dengan kenyataan Tunku Ismail yang mahukan lebih banyak padang berkualiti di seluruh negara.

Jika permohonan naik taraf padang MBI lulus, Stadium Perak akan menjadi stadium ketiga di Malaysia yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia.

Dua lagi stadium menggunakan rumput tersebut ialah Stadium Sultan Ibrahim iaitu gelanggang keramat buat pasukan JDT dan terbaharu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dijangka siap pada bulan Oktober ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram